• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Kerajaan Salur RM2.79 Juta Bantu Penduduk Terputus Bekalan Air

KUALA TERENGGANU, 25 Ogos - Kerajaan negeri melalui Syarikat Air Terengganu (SATU) dan Terengganu Incorporated (TI) menyalurkan bantuan segera berjumlah RM2.79 juta bagi membantu penduduk yang terputus bekalan air di daerah ini dan Kuala Nerus.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, sebanyak RM1.04 juta daripada jumlah jumlh itu akan disalurkan kepada 104 Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) yang terlibat bagi tujuan penyampaian bekalan air harian.

“Di samping, sebanyak RM500 ribu untuk pengurusan, logistik dan bekalan berkaitan di semua kawasan yang terlibat. 

“Bantuan ini juga akan disampaikan menerusi Pusat Khidmat DUN dan Penyelaras mengikut jumlah penduduk dan pengguna di setiap kawasan,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut Ahmad Samsuri menegaskan, bantuan air minuman turut akan terus dibekalkan kepada semua rumah terlibat.

“Sebanyak RM 1.25 juta diperuntukkan untuk air minuman dalam kotak.

“Kita akan memastikan bekalan air bersih dihantar dengan kekerapan yang sesuai bagi memastikan mereka dapat menikmati bekalan air bersih sehingga kejadian ini dapat diselesaikan,” tegasnya.

Terdahulu, beliau melahirkan rasa dukacita susulan kejadian paip pecah di dasar sungai yang menjejaskan bekalan air kepada rakyat di sekitar Kuala Terengganu dan Kuala Nerus.

Justeru, pihaknya telah mengarahkan Jawatankuasa Siasatan untuk memperincikan kes daripada kejadian pertama hingga yang terkini.

“Supaya kita mampu merencanakan tindakan jangka masa panjang. 

“Sama-samalah kita doakan agar masalah ini dapat diselesaikan dengan segera dan urusan harian mereka yang terlibat dipermudahkan,” tegasnya.


Tag: