• 07 Dis 2021 | 2 Jamadil Awal 1443

Kerajaan Sasar 200 Ribu Vaksin Sehari Bulan Depan

KUALA NERUS, 13 Jun - Kerajaan Persekutuan menyasarkan sebanyak 200 ribu suntikan vaksin sehari dapat dicapai pada bulan depan menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK). 

Timbalan Menteri Sains, Teknologi Dan Inovasi (MOSTI), Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, sasaran itu selari dengan hasrat kerajaan untuk mencapai imuniti kelompok dan menyelesaikan PICK secara menyeluruh menjelang akhir tahun ini.

Menurutnya, langkah kerajaan menambah lebih banyak Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dengan bekalan lebih banyak vaksin mampu meningkatkan kadar penggunaan (utilization rate) vaksin dalam masa singkat.

“Bagi bulan Jun, kadar yang telah dicapai adalah sebanyak 150 ribu peserta sehari, cuma ada sedikit perkara yang perlu dilakukan untuk kita mengekalkan angka ini secara konsisten. 

“Selanjutnya, pada Julai nanti apabila bekalan vaksin lebih banyak lagi kita jangkakan akan mencapai sasaran 200 ribu peserta sehari,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan tinjauan Pelancaran Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Universiti Sultan Zainal Abidin, di Gong Badak, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Kesihatan Negeri, Dr. Nor Azimi Yunus dan Naib Canselor UniSZA, Prof Dato’ Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan.

Ahmad Amzad turut memaklumkan, pihaknya mensasarkan sebanyak 19 institut pengajian tinggi akan beroperasi sebagai pusat pemberian vaksin.

“Kita menyasarkan dengan kapasiti mengendalikan vaksinisasi sekitar 14 ribu peserta sehari dan mampu mencapai 430 ribu peserta sebulan,” katanya.

Tambahnya, PPV UniSZA merupakan antara pusat terawal melibatkan Institut Pengajian Tinggi dengan kapasiti mengendalikan 1,500 peserta pada satu-satu masa.

“Tahniah kepada UniSZA kerana penglibatan sumber kepakaran yang ada merupakan langkah penting bagi membantu usaha negara melaksanakan lebih banyak suntikan menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK),” katanya.


Tag: