• 16 Okt 2021 | 9 Rabiul Awal 1443

Kerajaan Teliti Larangan 'Mak Nyah' Masuk Masjid

KEMAMAN, 24 September - Kerajaan akan meneliti larangan golongan trasgender atau 'mak nyah' ke dalam masjid untuk dilaksanakan pada peringkat Wilayah Persekutuan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, apa yang paling penting dalam maslahah tersebut adalah kesucian masjid tidak dicemari dan peraturan itu tidak mengelirukan masyarakat.

"Kalau golongan transgender ini masuk ke masjid, kadang-kadang mereka pakai tudung, sedangkan mereka lelaki, jadi itu sangat tidak sesuai untuk mereka hadir ke masjid.

"Tindakan Perlis itu, saya fikir adalah satu tindakan yang boleh menjadi contoh supaya, pertamanya menjaga kesucian masjid dan tidak menimbulkan kekeliruan serta menjaga kehormatan orang lain.

"Kalau orang lelaki yang berlakaian wanita masuk di sebelah Muslimat, itu sudah menganggu provasi kumpulan wanita di masjid kerana mereka akan buka tudung, memakai telekung," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Program Inspirasi Qaseh Kami: Food Bank YaPEIM 3.0 di pekarangan Stesen Teksi Kemaman, hari ini.

Jelasnya, setakat ini pihaknya tidak terima maklumat yang serius tentang perkara tersebut dan menyifatkan apa yang dilaksanakan oleh negeri Perlis lebih kepada langkah pencegahan terhadap isu terbabit.

"Kita pun sentiasa memantau perkara ini dan pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) tentang kehadiran golongan ini di masjid. Tetapi, kalau kereka hadir untuk bertaubat itu tidak apa, cuma kalau hadir tujuan lain memang tak patut.

"Insya-Allah kita teliti untuk kita laksanakan. Saya bercakap dalam konteks Wilayah Persekutuan itu dalam bidang kuasa kita, adapun pada peringkat negeri-negeri itu terpulang kepada pihak berkuasa agama masing-masing," katanya.

Tambahnya, jika ada pencerobohan sebegitu oleh kumpualn transgender yang hadir ke masjid dan memilih tempat-tempat yang berbeza dari yang ditetapkan bagi mereka, kes sebegitu bukan lagi digalakkan malah memang perlu untuk dibuat peraturan sebegitu.

Terdahulu, berdasarkan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis kali ke-53/ 2021 pada 23 dan 24 Jun lalu, Negeri Perlis melarang golongan transgender memasuki masjid dalam keadaan kecelaruan jantina.

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, mereka diharamkan memasuki masjid dalam keadaan kecelaruan jantina kerana boleh mengganggu suasana ibadah di masjid.

 

 


Tag: