• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Kerajaan Terengganu Serah Semula 7,601 Tanah ‘Dirampas’

KUALA TERENGGANU, 11 April - Sebanyak 7,601 lot tanah di negeri ini yang didakwa ‘dirampas’ atau ditarik balik haknya oleh kerajaan terdahulu sudah dikembalikan semula kerajaan sedia ada kepada rakyat sejak 2019 hingga 2022.

Menurut Pejabat Tanah dan Galian (PTG) negeri, bilangan itu menjadikan penyelesaian tanah terkilan tersebut mencecah 86 peratus daripada 8,834 permohonan.

Berdasarkan data itu, Kemaman mencatatkan jumlah penyelesaian tertinggi apabila merekodkan 2,195 lot tapak rumah dan pertanian berbanding daerah-daerah lain.

Manakala, Setiu (1,707), Dungun (1,516), Besut (1,165), Marang (452), Hulu Terengganu (353), Kuala Nerus (152) dan Kuala Terengganu (41).

Perkembangan ini menyaksikan kerajaan Terengganu yang ditadbir PAS kini berjaya menunaikan janji manifesto pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 iaitu mengembalikan tanah-tanah yang dirampas kerajaan terdahulu selepas 2004 dan membuka permohonan tanah baru dengan memberi geran kekal.

Sebelum ini Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, manifesto adalah janji kerajaan kepada rakyat dan bukan suatu perkara yang menjadi mainan.

Katanya, secara keseluruhan jumlah tanah terkilan  yang layak dimohon seluruh negeri dari tahun 1999 hingga 2004 adalah seramai 12,946 orang.

Beliau turut mengumumkan peserta terkilan hanya perlu membayar premium tanah sebanyak 10 peratus pada harga asal tahun 1999 hingga 2004.

“Sebagai satu contohnya, di kawasan Sungai Toman. Menurut Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta, jika dahulunya nilaian tanah di situ pada kadar RM6,300 satu lot pada tahun 1999-2004, tetapi sekarang kadar (harga) semasa ialah RM28,000 satu lot.

“Namun premium sebenar yang perlu dijelaskan oleh peserta terkilan ini hanya 10 peratus daripada nilaian lot lama, dan ini merupakan penjimatan yang amat besar diterima oleh rakyat berbanding nilaian semasa.

“Kita faham bagaimana rakyat perlu kepada tanah dan tentunya perlu kepada rumah. Kita hendak beri belaka kepada rakyat Terengganu yang cukup syarat. Tetapi, cara pembahagiannya memakan masa dan kita buat setakat mana sempat dalam tempoh setahun ini,” jelasnya dalam satu majlis agihan tanah di Besut.


Tag: