• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Kerajaan Terengganu Tuntut DKKP Diteruskan

KUALA TERENGGANU, 26 Februari - Kerajaan Terengganu menyeru Kerajaan Persekutuan supaya meneruskan Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DKKP) sebagaimana amalan biasa pada tahun-tahun sebelum ini.

Ketika ditanya sama ada ucapan Bajet 2023 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, baru-baru ini, menandakan hak royalti Terengganu bakal dinafikan, Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata ia akan diperhalusi selepas ini.

"Saya lihat itu dua perkara berbeza kerana apa yang dibayar kepada Terengganu sebelum ini disebut DKKP, soalnya sama ada ia sama seperti royalti atau tidak itu adalah perkara yang akan kita terokai pada fasa berikutnya.

"Apa yang disebut oleh Menteri Undang-undang, Dato' Sri Azalina Othman Said, itu adalah royalti dan ia juga pernah disebut oleh Menteri Kewangan sebelum ini (Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz) pada tahun 2021.

"Termanya seperti itu, apa yang dihantar kepada kerajaan negeri selama ini seingat saya mereka memang tidak pernah menyebut royalti, sebaliknya DKKP.

"Jadi, bagi kerajaan Terengganu pada saat ini,  DKKP ini wajar diteruskan sebagaimana amalan biasa. Soal dari peruntukan mana, itu kita akan nantikan perbincangan selanjutnya dengan Kementerian Kewangan," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan penutup Karnival Gedung Pengeluaran Makanan Terengganu (GPMT) di Sungai Tarom, Setiu semalam.

Beliau turut meluahkan kekecewaan terhadap beberapa keputusan kerajaan Persekutuan yang diputuskan tanpa libat urus kerajaan negeri. 

"Yang agak mengejutkan kita semua apabila kerajaan persekutuan telah membentangkan satu perkara dengan tidak dilibat urus kerajaan negeri. 

"Perkara ini jika tidak melalui libat urus atau perbincangan lebih awal dengan kerajaan negeri, terutama dalam keadaan tahun 2023 adalah tahun yang telah berlaku pelaksanaan bagi negeri-negeri yang berkenaan seperti Terengganu, berbanding Sabah dan Sarawak yang telah diberi gambaran telah dilibat urus dalam teks ucapan belanjawan itu, menyebabkan adanya kecanggungan.

"Sebab itu pada saya, antara perkara yang penting dalam melaksanakan bajet yang efisien adalah dengan menghormati konsep federalisme dan melakukan reformasi ke arah lebih positif untuk meningkatkan hubungan antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri.

"Jadi, banyak perkara yang boleh kita capai dengan cara libat urus, perbincangan dua hala antara kedua-dua pihak yang mana banyak perkara sebenarnya ada dibawah kerajaan negeri, ada juga dibawah kerajaan persekutuan dan ada di bawah kuasa bersama sebagaimana diperuntukkan dalam pelembagaan," katanya.

 

 


Tag: