• 28 Apr 2024 | 19 Syawal 1445

Kerajaan Terus Bantu Pelajar Derita Pecah Saluran Darah ke Otak

HULU TERENGGANU, 10 Mac - Kerajaan negeri dan Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) terus komited membantu keperluan Muhammad Amirul Nazmi Sam, 21, yang menderita masalah saluran pembuluh darah ke otak pecah sejak 18 Disember tahun lalu sehingga menyebabkan pelajar cemerlang itu kini hanya terlantar sakit.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri merangkap ADUN Ajil Maliaman Kassim berkata, pihaknya dan PETRONAS akan sentiasa membantu dari segi kos rawatan Amirul dengan sebaik mungkin.

"Pada hari ini sekali lagi saya turun bersama pihak PETRONAS untuk menyampaikan bantuan kepada keluarga adik Amirul.

"Terbaharu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah meluluskan bantuan sebanyak RM500 kepada penjaga iaitu ibunya Wan Murni Wan Ngah, 46, dan untuk Amirul sebanyak RM300 setiap bulan.

"Alhamdulillah, perkembangan kesihatan Amirul semakin baik dan positif. Doakan adik Amirul kembali sembuh dan sihat seperti sediakala," ujarnya ketika dihubungi pemberita.

Sementara itu, Naib Presiden Komunikasi dan Hubungan Strategik Kumpulan Petronas, Nooruddin Abdullah berkata, pihaknya akan terus memantau keadaan Amirul dengan teliti bagi menyediakan bantuan sewajarnya dalam usaha membantu pemulihan.

"Pada kunjungan kali ini, kami menyerahkan susu khas, lampin pakai buang dewasa, tisu basah, tracheostomy tube (tiub bantuan pernafasan melalui trakea), kerusi roda boleh laras, tub mandi isian angin (inflatable bath tub) termasuk sumbangan kewangan dari kutipan derma kakitangan petronas.

"Keutamaan kami adalah kesejahteraan dan pemulihan penuntut tajaan kami, dan kami bersedia untuk memberi bantuan sewajarnya dalam situasi yang sukar," katanya.

Muhammad Amirul Nazmi dijadualkan menamatkan pengajian A-level di sebuah universiti swasta di Kuala Lumpur pada Mac dan akan menyambung pengajian dalam bidang Teknologi Maklumat (IT) di United Kingdom (UK) pada Jun depan.

Beliau yang merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Sains Dungun sebelum ini memperoleh keputusan cemerlang 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2021 sekali gus melayakkannya menyambung pengajian dalam bidang IT di UK.