• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Kerajaan Timbang Salurkan Subsidi Kepada Pengeluar Ayam Utama

HULU TERENGGANU, 11 September - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan mengadakan pertemuan dengan Kementerian Kewangan (MOF) bagi membincangkan pemberian subsidi kepada 20 pengusaha ladang ayam utama di negara ini.

Timbalan Menterinya, Dato' Rosol Wahid berkata, ia sebagai usaha kerajaan bagi mengawal kenaikan harga ayam yang kini membebankan para pengguna.

Katanya, terdapat kira-kira 20 pengusaha ternakan ayam terbesar yang kini beroperasi di tiga negeri iaitu Johor, Negeri Sembilan dan Perak yang mengeluarkan 80 peratus ayam untuk pasaran seluruh negara akan terlibat dalam cadangan pemberian subsisi tersebut.

"Kenaikan harga ayam ketika ini dikatakan berpunca daripada peningkatan harga makanan ayam kerana komponennya iaitu soya dan jagung diimport sepenuhnya dari luar negara.

Cadangan subsidi ini dilihat sesuai untuk mengawal kenaikan harga ayam dan ia terbukti sebagaimana kita laksanakan ketika kawal kenaikan harga minyak sawit dalam botol satu ketika dahulu

“Pelaksanaan sistem subsidi ini  sesuai untuk mengawal kenaikan harga ayam dan telah terbukti berjaya semasa kita buat untuk mengawal kenaikan harga minyak pada Jun lepas,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat tinjauan ke Pasar Ajil di sini hari ini.

Rosol berkata, harga jualan ayam tertinggi yang direkodkan setakat ini ialah RM11/kg di Pasar Basah Gopeng, Perak.

"Purata harga semasa jualan ayam di pasar basah seluruh negara ialah RM9.00 hingga 10.50 sekilogram," tambahnya.

Dalam pada itu, KPDNHEP turut mengadakan  pertemuan dengan wakil persatuan penternak ayam bagi memantau pengeluaran bekalan ayam di seluruh negeri.

"Semalam, pihak KPDNHEP telah adakan perbincangan bersama-sama 20 syarikat penternak ayam utama bagi membincangkan isu kenaikan harga ayam yang agak membebankan orang ramai.

"Kita harap kesemuanya dapat memberikan  kerjasama untuk meminimumkan kenaikan harga ayam dan mengelak kenaikan secara mendadak di semua peringkat rantaian pengedaran," ujarnya lagi.

Sementara itu, Rosol berkata, 
sepanjang Ops Catut (Pasar) 8.0, penguat kuasa KPDNHEP telah mengeluarkan 12 Surat Pemberitahuan yang meminta peniaga menyemak semula harga jualan ayam dan menurunkan kadar harga jualan.

Tambahnya lagi, sebanyak 63 Notis Pengesahan Maklumat Barangan (NPMB) dan 56 Notis Bertulis (NB) dikeluarkan kepada peniaga untuk siasatan lanjut sekiranya berlaku unsur pencatutan dalam jualan ayam hidup, ayam standard dan ayam super.