• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

KUALA TERENGGANU, 25 Oktober - Asbab menjaga neneknya di kampung, Wan Mohamad Alif Wan Abdul Wahid, 26, menerima ganjaran setimpal apabila dinobatkan Pelajar Terbaik Kolej Kemahiran Yayasan Terengganu (KKYT) dalam Majlis Konvokesyen KKYT Kali Ke-6 baru-baru ini.

Kata Wan Mohamad Alif, anugerah itu mungkin 'bayaran' Tuhan buat dirinya yang menolak tawaran dari luar Terengganu demi menjaga neneknya di kampung.

"Saya dilahirkan di Terengganu tetapi dibesarkan di Selangor kerana ibu bapa saya bekerja di sana. Demi menjaga nenek, saya menolak semua tawaran pengajian luar negeri Terengganu dan memilih menyambung pelajaran di sini (KKYT).

"Sebagai anak sulung daripada empat adik beradik, sudah tentu saya mahu memulakan langkah yang terbaik dalam keluarga serta menunjukkan mampu berdikari apabila berjauhan dengan ibu bapa dalam masa yang sama berbakti kepada nenek yang tinggal bersendirian.

"Alhamdulillah kejayaan ini memberi semangat untuk saya menyambung pengajian di peringkat yang lebih tinggi pada masa akan datang," ujarnya ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) di Dewan Konvesyen Taman Tamadun Islam.

Wan Mohamad Alif yang kini bekerja sebagai juruteknik komputer di Syarikat Integrity Network Sdn Bhd berjaya menamatkan tempoh pengajian selama tiga tahun dalam jurusan Diploma Pentadbiran Sistem komputer.

Beliau teruja dengan anugerah tersebut dan menganggap kejayaannya itu datang daripada doa seorang nenek.

Sementara itu, penerima Anugerah Pelajar Terbaik Diploma Pentadbiran Sistem Maklumat, Nur Farihan Romele, 23, pula gembira dengan pencapaiannya itu dan sangat berterima kasih kepada ibunya yang menasihatinya agar memilih KKYT sebagai tempat untuk meneruskan pengajiannya.

"Saya sebenarnya pada ketika itu belajar di tingkatan enam, tidak pernah terlintas di fikiran untuk menyambung pengajian di bidang ini kerana minat saya pada awalnya adalah menjadi seorang guru. Akhirnya, saya turutkan juga nasihat ibu saya, dan saya telah melalui suatu pengalaman yang sangat menarik di sini kerana pensyarahnya sangat membantu dalam memberikan tunjuk ajar yang terbaik.

"Nasihat saya kepada mereka di luar sana, terutamanya yang tidak boleh ke universiti jangan sedih, boleh menyambung pengajian di sini, insya-Allah dengan menimba ilmu kemahiran ia akan menjamin peluang pekerjaan yang lebih baik," katanya.

Bagi Pelajar Terbaik Sijil Operasi Latihan Vokasional, Fatin Ezeanne Yaman Nasir, 26, berkata pilihannya menyambung pengajian di KKYT adalah tepat bagi mendapat peluang pekerjaan yang lebih baik.

"Kualiti pensyarah di sini sangat baik, benar-benar membantu. Walaupun saya agak berusia berbanding pelajar lain, saya tidak peduli kerana bertekad mahu berjaya dalam bidang kemahiran ini.

"Pada awalnya ingat nak belajar di tahap dua sahaja, tetapi pensyarah minta saya meneruskan di peringkat yang tinggi, sebagai persediaan untuk saya menempatkan diri sebagai pengajar dalam bidang kemahiran ini," ujarnya.

Seramai 144 graduan diraikan dalam majlis yang dirasmikan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Maliaman Kassim.