• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

'Kerja Gila' Tempa Pisau Buahkan Kejayaan

HULU TERENGGANU, 23 Februari - Dalam perniagaan, cabaran dan rintangan itu pasti ada, begitu juga cerita usahawan muda kali ini , Lokman Nurhakim Sukry, 22, yang kini boleh tersenyum bangga apabila pisau buatannya berjenama LNH mendapat tempat dalam kalangan masyarakat termasuk luar negara seperti Thailand, Brunei dan Korea Utara.

Mungkin sesetengah orang beranggapan dia melakukan ‘kerja gila’ apabila hampir 200 bilah pisau yang dihasilkan tidak menjadi seperti yang diharapkan dan terpaksa dibuang begitu sahaja.

Katanya, setelah apa yang dipelajarinya dengan orang-orang yang berpengalaman dalam bidang ini tidak mendatangkan hasil, dia mula belajar  cara pembuatan bilah pisau menerusi Youtube kira-kira dua tahun lalu.

“Minat ini timbul begitu sahaja  selain mahu memanfaatkan sisa arang memandangkan ayah, Sukry Abdullah, 57, adalah pengusaha arang tradisional.

"Sisa arang itu masih boleh digunakan, jadi daripada dibuang begitu sahaja, saya guna untuk pembakaran dan proses menghasilkan pisau.

“Peringkat permulaan saya gagal beratus kali tapi bila pisau pertama yang berjaya dihasilkan, saya cukup teruja lebih-lebih lagi pembelinya memberikan respon positif,”katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Kuala Menjing.

Selain pisau, Lokman turut menghasilkan golok sembelih, golok tulang, golok lasak, kapak tulang, pisau serbaguna dan pisau melapah.

Pernah menolak tawaran melanjutkan pelajaran ke kolej selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), beliau yang lebih terkenal dengan nama Derr berkata dia tidak pernah menyesal dengan pilihannya menceburi pembuatan pisau secara tradisional ini.

Walaupun terpaksa bermandi peluh dan menahan bahang api, Derr berkata kepuasannya memang tidak dapat digambarkan berbanding dengan menghasilkannya menggunakan mesin kerana kualiti pembuatan tangan lebih tinggi nilainya.

Katanya lagi, dia juga tidak menyangka pisaunya mendapat permintaan dari luar negara dengan setiap pisau jenama LNH dijual pada harga antara RM80 hingga RM450 mengikut panjang (RM10 untuk satu inci).

Derr berkata tidak pernah menyangka pembabitan awalnya sekadar untuk mengisi masa lapang kini menjadi sumber rezekinya yang mampu mencecah RM4,000 sebulan bergantung kepada tempahan yang diterima.

“Dalam sehari, saya mampu menyiapkan empat bilah pisau namun bergantung kepada jenis dan saiz bilah pisau.

"Untuk tahun ini, saya terpaksa tutup tempahan kerana perlu menyiapkan hampir 400 bilah tempahan yang dibuka pada awal tahun baru-baru ini,” katanya lagi.

Anak kedua dari empat beradik itu turut menghasilkan golok sembelih, golok tulang, golok lasak, kapak tulang, pisau serbaguna dan pisau melapah.

Mengenai cara penghasilan pisaunya, Derr berkata, dia menggunakan bahan 'planner blade' atau mata ketam, spring terpakai dan 'high carbon steel' serta 'high speed steel' yang turut diimport dari Jerman mahupun Amerika Syarikat.