Kerjasama Kerajaan Negeri, Persekutuan Pacu Pembangunan Pelancongan

KUALA TERENGGANU, 22 April - Kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan terus menjadi pemangkin utama dalam merealisasikan aspirasi Terengganu sebagai destinasi pelancongan utama negara.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris, berkata sejumlah peruntukan telah diluluskan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) bagi melaksanakan 13 tapak projek pelancongan.

"Bagi tahun 2025, sejumlah RM3.98 juta telah diluluskan oleh MOTAC bagi melaksanakan 13 projek pembangunan dan penyelenggaraan infrastruktur pelancongan di seluruh negeri.

"Antara projek utama yang dikenal pasti termasuklah kerja-kerja naik taraf kemudahan di Taman Eko Pelancongan Lata Ulu Kasar, Setiu, pemuliharaan Memorial Batu Bersurat di Kuala Berang, serta menaik taraf jeti pelancongan di Bandar Marang dan kemudahan di Gunung Tebu, Besut.

"Selain itu, peruntukan ini juga akan diagihkan untuk projek menaiktaraf papan tanda pelancongan serta kerja-kerja berkaitan di Daerah Dungun dan lain-lain," jelasnya.

Dalam usaha yang sama, beliau menjelaskan bahawa projek menaiktaraf jeti di Pulau Perhentian dan Pulau Redang dengan jumlah keseluruhan peruntukan sebanyak RM4 juta juga telah diluluskan.

"Insya-Allah, dimaklumkan bahawa terdapat beberapa lagi projek tambahan yang dijangka akan diluluskan dalam Fasa 2 pada tahun 2025.

"Perbahasan yang telah dibangkitkan jelas menunjukkan kesungguhan semua Ahli Yang Berhormat dalam memastikan pembangunan pelancongan negeri Terengganu terus maju dan lestari.

"Termasuk aspek kebersihan lokasi pelancongan, pemuliharaan alam semula jadi serta penerokaan destinasi baharu yang berpotensi tinggi, khususnya dalam bidang ekopelancongan," jelasnya.

Razali berkata demikian di dalam ucapannya ketika sesi penggulungan di Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelima Belas di Wisma Darul Iman, baru-baru ini.

Dalam pada itu, kerajaan negeri turut akan terus memberi penekanan kepada pembangunan pelancongan berasaskan komuniti (CBT), dengan 30 lokasi yang kini aktif dan 11 lagi sedang dikenal pasti di daerah Besut, Dungun dan Hulu Terengganu.

"Dalam usaha memperkasa inisiatif ini, kerajaan akan merangka siri lawatan berfokus bagi menilai secara terperinci cadangan-cadangan pembangunan yang telah dikemukakan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat.

"Agar pelaksanaan setiap projek nanti benar-benar memberi manfaat kepada rakyat serta memelihara khazanah alam semula jadi kita," katanya.