• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Kes Adib Akan Selesai Tidak Lama Lagi

KUALA LUMPUR, 14 Disember - Kes berkaitan dengan kematian seorang anggota bomba, Muhammad Adib Muhammad Kasim, akibat rusuhan pada 27 November 2018 akan berakhir tidak lama lagi.

Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Zainuddin Hamzah, berkata kes yang telah menjadi polemik politik tersebut kini telah berada di fasa akhir siasatan. 

"Saya dah jelaskan dalam dewan ini (tempoh hari bahawa) beberapa orang telah ditangkap dan dibawa ke mahkamah.

"Penyebab kematian (Allahyarham Adib) akan dimaklumkan selepas segala siasatan selesai dijalankan," ujar beliau dalam Sidang Dewan Rakyat hari ini.

Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer telah bangkit mencelah ketika sesi soal jawab lisan bagi bertanyakan tempoh masa dan bentuk hukuman yang akan dijatuhkan kepada pembunuh Allahyarham Adib.

"Kita akan bawa (kes ini) kepada Peguam negara untuk menentukan (bentuk hukuman yang sesuai)," tambah beliau.

Muhammad Adib, 24, yang bertugas di Jabatan Bomba dan Penyelamat Subang Jaya cedera teruk dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya dan meninggal dunia selepas 21 hari menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

Pada 4 Ogos yang lalu, Menteri Keselamatan Dalam Negeri telah membuka semula siasatan berkenaan kes ini dan telah menahan 12 orang suspek dibawah Seksyen 143 Kanun Keseksaan.