Jalur Gemilang
Berita :
Kes Memotong Berbahaya Babit Kenderaan Perdagangan Naik Enam Kali Ganda
Kes Memotong Berbahaya Babit Kenderaan Perdagangan Naik Enam Kali Ganda
Rohayati Ripin
12 Nov 26
6

KUALA TERENGGANU, 15 November – Kesalahan memotong secara berbahaya membabitkan kenderaan perdagangan di Terengganu meningkat enam kali ganda kepada 12 kes bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini berbanding dua kes dalam tempoh sama tahun lalu.

Peningkatan itu direkodkan ketika jumlah keseluruhan kesalahan kenderaan perdagangan menurun sebanyak 43.4 peratus kepada 11,659 kes.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu, Mohd Zamri Samion berkata, kesalahan tidak mematuhi lampu isyarat turut meningkat kepada 59 kes berbanding 49 kes pada 2025.

Menurutnya, kesalahan meletakkan kenderaan di tempat tidak dibenarkan pula meningkat daripada dua kepada 12 kes.

Beliau berkata, Operasi Khas Teknikal Kenderaan Perdagangan yang dilaksanakan sejak Januari lalu dipergiat bagi meningkatkan keselamatan jalan raya dan memastikan pematuhan pengendali serta pemandu.

“Sepanjang Januari hingga Oktober 2026, sebanyak 39,527 kenderaan perdagangan diperiksa berbanding 68,049 kenderaan dalam tempoh sama tahun lalu.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 6,524 kenderaan dikenakan tindakan berbanding 10,573 pada 2025, manakala notis yang dikeluarkan turut menurun kepada 15,667 berbanding 28,960 notis,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Mohd Zamri berkata, penguatkuasaan secara berfokus itu dilaksanakan susulan kebimbangan terhadap kemalangan melibatkan kenderaan perdagangan.

Jelasnya, antara kesalahan dikesan membabitkan pelesenan pemandu dan kenderaan, muatan, aspek teknikal serta pematuhan peraturan jalan raya.

Sebanyak 920 kes melibatkan ketiadaan lesen GDL direkodkan, selain 758 kes berkaitan ketiadaan Lesen Memandu Kompeten (CDL).

“Dalam kategori pelesenan kenderaan pula, sebanyak 980 kes melibatkan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh dan 435 kes tiada perlindungan insurans.

“Kesalahan teknikal turut membabitkan 1,488 kes cermin gelap, 761 kes berkaitan tayar, 610 kes pengubahsuaian kenderaan serta 1,431 kesalahan teknikal lain,” ujarnya.

Tambah beliau, pemilik syarikat dan pemandu bertanggungjawab memastikan kenderaan sentiasa berada dalam keadaan selamat serta mematuhi peraturan ditetapkan.

“JPJ menegaskan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pemandu kenderaan perdagangan yang melakukan kesalahan sehingga boleh mengancam keselamatan dan nyawa pengguna jalan raya,” tegasnya.

Orang ramai boleh menyalurkan maklumat atau aduan berkaitan kesalahan lalu lintas melalui menu e-Aduan@JPJ dalam aplikasi MyJPJ atau e-mel aduantrafik@jpj.gov.my.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan