• 18 Apr 2024 | 9 Syawal 1445

Kes Positif Covid-19 Di Besut Melonjak 835 Peratus

KUALA TERENGGANU, 11 Mei - Kes positif harian COVID-19 di Besut menunjukkan trend peningkatan yang menggusarkan dengan peningkatan 835 peratus kes positif dalam tempoh kurang dua bulan bermula April lalu. 

Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Nor Azimi  Yunus berkata, data tersebut jelas menunjukkan penularan jangkitan dalam komuniti yang sangat tinggi.

Katanya, daripada 60 kes positif dilaporkan dalam bulan Mac, ia telah meningkat kepada 561 kes pada April dan Mei. 

"Bermula 1 April hingga 8 Mei, sebanyak 9,936 ujian saringan dibuat dengan 662 kes positif dikesan di samping kadar positiviti 6.66.

"Situasi Covid-19 di Besut sangat merisaukan kita dengan puluhan kes positif dilaporkan setiap hari. 

"Kita risau apabila ia menular jauh, maka sukar untuk kita hambat virus Covid-19," katanya dalam hantaran di laman Facebook semalam.

Tambahnya lagi, terkini seramai lima penduduk daerah berkenaan dirawat di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ). 

Nor Azimi juga berkata, saringan bersasar juga telah dilakukan melibatkan beberapa buah sekolah dan lokaliti yang mempunyai kepadatan kes positif Covid-19 yang tinggi.

"Petugas kesihatan bersungguh-sungguh membuat pengesanan kontak, saringan, pengasingan dan memberi rawatan, jadi warga Besut turut diminta membuat kawalan kendiri.

"Hadkan pergerakan, elak berkumpul beramai-ramai, patuh prosedur operasi standard (SOP), duduk rumah di samping menjaga diri dan orang lain, jika semua perkara ini diberi perhatian maka segala usaha dalam memutuskan rantaian wabak di Besut akan berjaya," katanya. 

Sehubungan itu, Nor Azimi menasihatkan mana-mana individu yang  mempunyai gejala demam, batuk, selsema, sakit tekak serta hilang deria bau dan rasa agar segera membuat pemeriksaan.

"Ringkasnya bila rasa tak sedap badan tu, datang untuk pemeriksaan dulu dan percaya lah ini sangat membantu mengesan awal kes dan mencegah penularan," ujarnya.


Tag: