KUALA TERENGGANU, 7 Julai - Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) semalam mengesan sebanyak sembilan kes COVID-19 akibat kegiatan merentas negeri atau dikenali sebagai Import B.
Import B merujuk kepada kes COVID-19 yang dilaporkan di sesebuah negeri, namun dipercayai berpunca dari negeri lain disebabkan aktiviti merentas negeri.
Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus berkata, kes rentas negeri import B masih memberi masalah kepada situasi COVID-19 di Terengganu.
Menurut beliau, sepanjang bulan Mei dan Jun seramai 463 kes import B dari pelbagai negeri telah dikesan dengan majoriti di Kemaman (307 kes) dan Kuala Terengganu (36 kes).
"Ini telah mencetuskan lima kluster besar seperti Kluster Gong Badak (226 kes), Kluster Langgar Hilir (45 kes), Kluster Industri Teluk Kalong (109 kes), Kluster Pasar Kemunting, Pahang (13 kes) dan Kluster Kubang Jela (131 kes) yang masih aktif.
"Terbaru Kluster Gong Pasir Dungun. Seramai 40 kes telah dikesan dari Kluster ini yang juga berpunca dari rentas negeri.
"Seolah-olah situasi begini tak abis. Baru nak reda, kes naik balik. Sebelum ini Rt Terengganu adalah 0.62 terendah. Sekarang Rt telah meningkat ke 0.88," ujarnya dalam satu hantaran di Facebook.
Dr Nor Azimi berkata, selalunya orang yang bergejala dahulu datang membuat saringan dan apabila disiasat rupanya ada kontak dengan kes rentas negeri, lebih parah pada waktu dikesan ia telah menular dalam komuniti.
"Sebahagian kes import B yang masuk untuk berkerja akan menjalani saringan masuk kerja. Cara begini kita boleh kesan awal dan penularan dapat dicegah.
"Yang membimbangkan kita adalah warga Terengganu sendiri yang sering berulang alik ke negeri berisiko atas sebab kerja dan lain-lain.
"Samada mereka gagal pematuhan SOP semasa berada di negeri luar yang menyebabkan mereka dijangkiti. Kegagalan pematuhan SOP semasa pulang ke Terengganu serta masih melakukan aktiviti berhimpun juga antara punca berlaku penularan dalam komuniti dan akhirnya terbentuk kluster baru," ujarnya.
Katanya, beliau selalu ulang, rentas negeri tiada masalah tetapi mereka yang melakukan rentas negeri mesti lebih bertanggungjawab menjaga diri sendiri untuk jaga orang lain.
"Jika kita tahu kita berisiko pergi buat penilaian dan saringan di Klinik Kesihatan berdekatan, jangan sebab kelalaian kita, orang lain yang terkena.
"Jangan sebab kelalaian kita, Terengganu patah balik ke Fasa 1 pula. Kita nak bergerak ke Fasa 3 bukan undur ke belakang," ujarnya.
Hari ini Terengganu mencatatkan 68 kes baharu.