• 09 Mei 2024 | 1 Zulkaedah 1445

Kesabaran Membuah Kejayaan

DUNGUN, 15 Disember - Walaupun bengkel motosikalnya tidak mendapat sambutan semasa mula dibuka enam tahun lepas, berkat kesabaran akhirnya membuahkan kejayaan. 

Tengku Mohamad Basiron Tengku Jalil, 32 sekarang boleh bernafas lega kerana pemilik Bengkel Apis Kudin yang terletak di  Taman Rakyat Jaya itu, bukan sahaja menjadi tumpuan penduduk di taman perumahan berkenaan malah juga mereka yang tinggal di sekitarnya. 

"Masa mula-mula buka dulu memang agak suram pelanggan, tetapi alhamdulillah sehingga kini tidak putus-putus motor keluar masuk yang dibaiki," ceritanya yang kini mampu menggaji tiga orang pekerja.

Pemuda bersemangat kental itu ditemui pemberita ketika lawatan Ketua Pemuda PAS DUN Rantau Abang, Abdullah Fahim Hussin ke bengkel - bengkel motosikal untuk mendekati anak muda usahawan permotoran  di DUN tersebut.

Mohd Fakrul Syafiq Ramli, 27, yang membuka bengkel sendiri di kediamannya di Kampung Che Lijah pula mengakui sangat  terkesan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan oleh kerajaan untuk mengelakkan penularan pandemik COVID-19 tetapi ianya tidak mematahkan semangatnya untuk meneruskan perniagaan.

" Alhamdulillah, semua rezeki dariNya walaupun COVID-19  ada jugaklah motor pelanggan hantar walaupun sebuah sehari sekalipun," ujarnya.

Sementara itu, Abdullah Fahim memuji semangat yang ditunjukkan oleh anak-anak muda tersebut dan sewajarnya menjadi contoh kepada mereka yang ingin berjaya di dalam setiap bidang yang ingin diceburi. 

" Kejayaan tidak datang bergolek, ianya perlu diusahakan dengan bersungguh-sungguh dan kerajaan negeri sentiasa memberi galakkan dengan pelbagai insentif untuk melihat golongan belia berjaya," katanya.


Tag: