• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Foto : Angah Hanis 

KUALA TERENGGANU, 24 Oktober – Kaum wanita perlu tahu bahawa kanser payudara yang dikesan pada tahap awal, mempunyai sinar harapan yang cerah untuk pulih.

Ketua Kluster Perubatan Persatuan Isteri Wakil Rakyat dan Isteri Bekas Wakil Rakyat Negeri Terengganu (KHAIRUNNISA’), Dr Farhaana Husainy Hasbullah berkata kanser payudara adalah kanser yang paling kerap berlaku dalam kalangan wanita.

Menurut beliau lagi, kanser nombor satu tertinggi ini menyumbang kepada 17.7 peratus daripada keseluruhan kanser di Malaysia dan 32.1 peratus daripada keseluruhan kanser yang dialami oleh wanita.

Namun katanya, 43 peratus daripada keseluruhan kanser payudara di Malaysia dikesan pada tahap lewat iaitu tahap tiga dan empat.

“Kanser payudara menjadi penyebab kematian keempat tertinggi dalam kalangan wanita. Pada tahun 2018, terdapat 7598 kes baharu kanser payudara di Malaysia dan 40 peratus dikesan pada tahap yang teruk iaitu tiga dan empat.

“Saya ingin tegaskan bahawa pengesanan awal kanser payudara dan dengan rawatan awal, peluang pulih (5 year survival rate) adalah lebih dari 90 peratus jika dikesan di tahap satu dan dua, malah menghampiri 100 peratus bagi tahap satu.

“Pengesanan awal ialah melalui ujian mammogram dan ini adalah cara yang paling efisien untuk mengesan kanser bagi wanita berumur lebih dari 40 tahun. Wanita juga digalakkan melakukan pemeriksaan sendiri payudara serta pemeriksaan payudara oleh kakitangan kesihatan terlatih,"ujarnya.

Dr Farhaana berkata demikian ketika dihubungi oleh wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), baru-baru ini.

Beliau menambah, bahawa tanda paling kerap bagi kanser payudara ialah benjolan manakala tanda-tanda lain yang boleh dikesan ialah perubahan pada saiz atau bentuk payudara, lelehan dari puting payudara atau perubahan warna dan rupa kulit payudara.

Namun begitu, Dr Farhaana mengingatkan bahawa kadangkala tidak ada sebarang tanda sehinggalah kanser itu telah merebak.

Justeru itu katanya, mammogram adalah wajib dilakukan walaupun tiada simptom, khususnya bagi mereka yang berisiko tinggi.

“Sekiranya terdapat tanda-tanda seperti yang disebutkan, perlulah berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut, hal ini demikian kerana, lapan daripada 10 benjolan yang dikesan adalah bukan kanser.

“Setiap wanita perlu mengenali payudaranya dengan terperinci dan perlu melakukan pemeriksaan sendiri payudara setiap bulan untuk mengesan sebarang perubahan,” jelasnya.