• 10 Nov 2024 | 08 Jamadil Awal 1446

Kesatuan dan Kerjasama Kunci Aspirasi Keluarga Malaysia

KUALA TERENGGANU, 20 Mei - Kerjasama dan kesatuan semua pihak tanpa mengira fahaman politik dan kaum adalah kunci utama menjayakan aspirasi Keluarga Malaysia.

Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, seluruh kepimpinan negeri persisir pantai itu amat mendokong konsep diperkenalkan Perdana Menteri, Dato' Sri Ismail Sabri Yaakob itu. 

"Malah, soal perpaduan rakyat dan penyatuan ummah amat dititikberatkan kerajaan negeri dalam membangunkan Terengganu yang Maju, Berkat dan Sejahtera.

"Kunci utamanya adalah kerjasama dan kesatuan tanpa mengira bangsa dan fahaman politik. 

"Nikmat perpaduan dan penyatuan ini sewajarnya kita pertahankan tanpa jemu dengan sepenuh jiwa, dan tidaklah pula kita menjadi gunting dalam lipatan memecahkan kekuatan penyatuan kepada cebisan kelemahan," ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan aluan Majlis Rumah Terbuka Malaysia (MRTM) Aidilfitri 2022, di Dataran Drawbridge, hari ini.

Majlis berkenaan turut dihadiri Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato' Sri Nancy Shukri, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Terengganu, Ariffin Deraman dan Tengku Seri Bijaya Raja Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu.

Dalam majlis yang dirasmikan Perdana Menteri itu, Dr. Samsuri turut menegaskan betapa pentingnya memelihara kesatuan yang dibina.

"MRTM Aidilfitri 2022 ini adalah sangat bermanfaat untuk menyatukan kita sebagai sebuah Keluarga Malaysia. 

"Inisiatif ini bukan sahaja dapat menghangatkan kemeriahan perayaan Aidilfitri umat Islam, malah turut diraikan oleh pelbagai kaum di mana dapat menzahirkan rasa hormat dan meraikan perbezaan budaya antara masyarakat berbilang kaum yang wujud sejak sekian lama di tanah air kita tercinta ini.

"Mudah-mudahan dengan komitmen yang padu oleh semua pihak tanpa mengira kaum, tanpa mengira fahaman politik, tanpa mengira pegangan adat dan budaya, nescaya akan dapat menjadi penggerak bagi mencapai aspirasi Keluarga Malaysia yang Maju, Berkat dan Sejahtera," katanya.


Tag: