• 11 Mei 2024 | 3 Zulkaedah 1445

Kesepaduan Tiga Pemimpin Pastikan Kemenangan BN Dalam PRU-14


Ahmad Zahid ketika berucap merasmikan Persidangan  Perwakilan UMNO Bahagian Kemaman di Dewan Berlian, Majlis Daerah Kemaman, hari ini. Foto oleh Tg Mohd Syamim Tg Ismail

"Jadikan kesepaduan tiga pemimpin ini sebagai contoh dalam membentuk perpaduan khususnya kepada pemimpin dan anggota parti," kata Naib Presiden UMNO, Dato' Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, gandingan Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif bersama bekas Menteri Besar Dato' Seri Idris Jusoh dan Dato' Seri Ahmad Said dilihat mampu memastikan UMNO terus menang di Terengganu dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) akan datang.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, gandingan kerjasama dalam membangunkan parti dan negeri itu juga berupaya melenyapkan segala kontroversi yang pernah timbul sebelum ini.

"Realitinya adalah Ahmad dan Idris bukan lagi Menteri Besar Terengganu tetapi duduk diatas pentas bersama-sama Ahmad Razif. Ini menunjukkan sejarah silam telah berlalu. Perbezaan sudah diketepikan demi kepentingan UMNO.

"Jangan pernah usik UMNO dan Barisan Nasional(BN) Terengganu selagi ketiga-tiga pemimpin berada di sini. Insyallah Terengganu masih milik BN pada PRU-14 nanti," ujarnya


Beliau berkata demikian ketika berucap me­rasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Kemaman di Dewan Berlian, Majlis Perbandaran Kemaman, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Dato' Seri Ahmad Razif Abdul Rahman; Ketua UMNO Bahagian Kemaman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Dato' Seri Ahmad Said; Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kemaman, Dato' Seri Ahmad Shabery Cheek serta Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dato' Seri Idris Jusoh.

Ahmad Zahid berkata, beliau yakin dengan pencantuman idea ketiga-ketiga pemimpin itu bagi menzahirkan pelbagai pembangunan untuk kebaikan rakyat negeri ini dapat direalisasikan berdasarkan pengalaman masing-masing dalam menangani era dan politik di Terengganu.






Tag: