• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Kesungguhan Guru Jadi Motivasi Kejayaan Pelajar Terbaik STAM 2020

DUNGUN, 18 Jun - Kesungguhan yang ditunjukkan para guru membolehkan Nur Aina Mutmainnah Mohd Hanifuddin, 20, satu - satunya pelajar di Terengganu yang berjaya memperolehi  'Mumtaz Sofi' dinobatkan Pelajar Terbaik Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2020 Negeri Terengganu. 

Katanya, keikhlasan guru yang bersusah payah menyediakan nota untuk memberi lebih kefahaman kepada pelajar menjadi motivasi kepadanya untuk mencapai keputusan cemerlang.

Pelajar Maahad Tahfiz Al-Quran Terengganu, Padang Midin itu berjaya memperoleh pangkat mumtaz di dalam kesemua, 10 mata pelajaran yang didudukinya.

"Semua subjek guna silibus baru, jadi untuk membantu kami lebih memahami, Ustaz menyediakan nota-nota untuk rujukan kami, sebab nota lama tidak boleh digunakan. 

"Memang terkesan dengan silibus baru tambahan lagi belajar secara 'online', tetapi itu tidak mematahkan semangat untuk berjaya apatah lagi bila dapati Ustaz bersungguh-sungguh membantu," ujarnya dengan nada sebak. 

Aina turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Ustaz Mohd Hazri Che Muda yang mengajar  subjek Mantiq, Ustaz Farezuan bin Mat Azahar, guru penyelaras STAM dan Ustazah Nurul Hidayah Ahmad Zakhi, guru Al-Quran dan guru-gurunya yang lain dimana banyak memberi nasihat dan semangat. 

Pelajar yang tinggal di Kampung Balai Besar itu juga tidak kedekut untuk berkongsi ilmu dengan rakan-rakan sekelasnya dan mengadakan kelas tambahan untuk membantu mereka lebih memahami subjek yang sukar difahami. 

"Saya kasihan pada kawan-kawan sekelas saya yang kadang kala buntu untuk mengikuti sesetengah subjek memandangkan ianya sesuatu yang baru, saya bantu mana yang mampu, Alhamdulillah kawan-kawan saya berjaya semuanya," jelasnya lagi. 

Beliau yang telah dua kali khatam menghafaz Al - Quran 30 juzuk,  ingin menyambung pengajian dalam bidang Pendidikan Al-Quran dan Sunnah (Qiraat) di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

"Nasihat saya kepada semua pelajar sentiasa belajar, jangan tunggu 'last' minit sebab kita akan tidak mampu nak 'study' semua dengan banyak subjek yang perlu ditumpukan. 

" Sentiasa bersolat sunat, solat dhuha jangan tinggal begitu juga solat hajat dan sentiasa berdoa agar Allah SWT kurniakan ketenangan dan dipermudahkan belajar ilmu baharu," jelas anak ketiga  kepada sepasang guru, Mohd Hanifuddin Salleh, 55 dan Norhayati Mat Bidin, 55 yang banyak memberi sokongan kepada kejayaan anak mereka. 


Tag: