• 04 Mei 2024 | 25 Syawal 1445

Ketengah Holding Serah Dividen RM1.18 Juta

Din Adam melancarkan tagline `Anda Cergas Anda Sihat '' sempena KETENGAH Holding Cergas & Ceria Bersama Komuniti 2018 di Padang Astaka, Bandar Ketengah Jaya, Dungun, hari ini.


Ketengah Holding Sdn Bhd menyerahkan RM1.18 juta dividen 2017 bagi diagihkan kepada golongan miskin di wilayah Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah).

Pengerusinya, Dato' Din Adam berkata, dividen tersebut merupakan sumbangan beberapa anak syarikat dibawah Ketengah Holding Sdn Bhd sebagai tanggungjawab sosial korporat membantu masyarakat di kawasan ini.

"Peruntukan RM1.18 juta ini adalah dividen keuntungan segala bentuk perniagaan yang dijalankan oleh hampir 11 anak syarikat yang merangkumi segala sektor dalam proses membangunkan  masyarakat terutama dalam wilayah dan hasilnya merupakan limpahan kepada rakyat Terengganu.

"Dividen ini kita akan gunakan sebagai tabung pusingan untuk bantu masyarakat walaupun Ketengah sudah mempunyai bajet tertentu untuk menyalurkan bantuan," katanya.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Ketengah, berkata demikian kepada pemberita di sidang media selepas Program KETENGAH Holding Cergas & Ceria Bersama Komuniti 2018 di Padang Astaka, Bandar Ketengah Jaya, Dungun, hari ini.

Hadir sama, Pengurus Besar Ketengah, Omar Ismail.

Sementara itu, Din Adam turut berpuas hati dengan program yang dianjurkan oleh Ketengah Holding pada kali ini yang berjaya mengumpulkan hampir 800 komuniti setempat dengan penglibatan besar anak-anak muda.

"Saya dapat lihat dari tindak balas yang ditunjukkan sepanjang hari ini, bagaimana mereka berinteraksi, mengikuti aktiviti dengan ceria dan memberikan kerjasama yang cukup baik,"ujarnya.


Tag: