• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Ketengah Tawar Enam Bulan Moratorium

KUALA TERENGGANU, 21 Januari – Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) bersetuju memberikan pengecualian bayaran sewa premis perniagaan dan rumah kediaman selama enam bulan bagi meringankan beban peminjam dan penyewa mereka yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

Pengerusi Ketengah, Senator Dato' Razali Idris berkata, ia ditawarkan kepada 1,042 penyewa dan penangguhan bayaran sewa beli rumah selama enam bulan melibatkan 201 pembeli rumah Ketengah.

“Dianggarkan seramai 1,243 peniaga, usahawan dan penyewa, bakal menerima manfaat melibatkan jumlah keseluruhan implikasi kewangan sebanyak RM1.1 juta.

"Pengecualian ini mampu meringankan mereka yang terlibat sepanjang pelaksanaan PKP ini dalam meneruskan kehidupan seharian di saat berhadaan dengan wabak pandemik Covid-19,"katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Dalam pada itu, Razali turut mengalu-alukan Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Isnin lalu.

Katanya, Pakej Permai mampu memelihara kesejahteraan rakyat dan menyokong kelangsungan perniagaan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Tambah beliau lagi, pemberian bantuan kewangan sebanyak RM500 secara one-off kepada 14,000 pemandu pelancong juga bertepatan bagi meringankan bebanan kewangan mereka.

“Sebahagian daripada pemandu pelancong ini juga ada menyediakan perkhidmatan pelancongan ke kawasan pelancongan Tasik Kenyir.

“Malah, pelaksanaan skim mikrokredit kepada Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) dan perniagaan terutama yang berkaitan pelancongan memberi kelegaan kepada kelompok terlibat sebagai menyokong kelangsungan bisnes,” katanya.


Tag: