• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

KETENGAH Tawar Kursus Jangka Pendek Secara Percuma

 

DUNGUN, 20 November - Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) menawarkan kursus jangka masa pendek iaitu Kursus Penyeliaan dan Operasi Ladang Kelapa Sawit (KPOLKS) yang diiktiraf oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran(JPK) di bawah Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN).

Pengerusinya, Dato' Razali Idris berkata kursus ini diberikan secara percuma kepada belia berusia antara 17 tahun hingga 35 tahun.

Katanya, tujuan utama kursus ini ditawarkan adalah untuk melahirkan generasi baru yang berkemahiran tinggi dalam bidang
penyeliaan dan operasi ladang kelapa sawit serta mengurangkan kebergantungan kepada sumber tenaga asing.

"Kursus ini dijalankan selama tiga bulan dan terdapat empat sesi kemasukan setahun. Pengambilan pertama adalah untuk kemasukan sesi Januari, Mac, Jun dan Ogos.

"Yuran pengajian dan penginapan adalah percuma sepanjang kursus termasuk menerima wang saku RM300 sebulan," ujarnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata kursus ini akan dikendalikan oleh Pusat Latihan Kemahiran dan Kerjaya (PLKK) Kolej Ketengah dengan kerjasama Ketengah Holding Sdn.Bhd.(KHSB) iaitu syarikat di bawah KETENGAH.

Menurut Razali lagi,  sebaik sahaja
tamat kursus, perantis akan terus ditawarkan kontrak pekerjaan selama dua tahun di ladang-ladang kelapa sawit milik KHSB dengan bayaran gaji bulanan RM2,000 dan ke atas bergantung kepada produktiviti.

Tambahnya, antara syarat utama adalah mesti warganegara Malaysia dan keutamaan diberikan kepada penduduk di Wilayah Ketengah.

" Pemohon mestilah berumur diantara 17 hingga 35 tahun, tamat tingkatan tiga serta lulus Penilaian Menengah Rendah (PMR) atau Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3).

"Sekiranya tidak lulus peperiksaan itu, pemohon mestilah mempunyai pengalaman kerja di sektor perladangan kelapa sawit selama setahun serta boleh membaca dan menulis,"ujar beliau lagi.

Orang ramai yang berminat untuk mengikuti KPOLKS, boleh melawati laman sesawang Kolej Ketengah di www.kolejketengah.edu.my dan
untuk pertanyaan lanjut, boleh hubungi Kolej Ketengah ditalian 011-62548080.


Tag: