• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

KUALA TERENGGANU, 21 Mac - Kedudukan kewangan kerajaan Terengganu bagi tahun berakhir 31 Disember 2020 secara keseluruhannya menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) adalah stabil.

Ketua Audit Negara, Datuk Seri Nik Azman Nik Abdul Majid berkata, baki terkumpul Kumpulan Wang Disatukan kerajaan pada akhir tahun 2020 adalah berjumlah RM466.20 juta, iaitu menurun sebanyak RM131.36 juta berbanding RM597.56 juta pada akhir 2019.

"Akaun Hasil Disatukan menunjukkan defisit semasa berjumlah RM54 juta. Kutipan hasil menurun sebanyak RM927.49 juta atau 36.2 peratus menjadi RM1.633 bilion berbanding RM2.561 bilion pada 2019,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu katanya, perbelanjaan mengurus (sebelum pindahan kepada Kumpulan Wang Pembangunan) pada 2020 pula berjumlah RM1.187 bilion, menurun sebanyak RM394.84 juta atau 25 peratus berbanding RM1.582 bilion pada 2019.

Baki Akaun Hasil Disatukan kerajaan negeri bagi tahun kewangan 2020 pula mencatat lebihan sejumlah RM203.36 juta berbanding RM257.36 juta pada 2019.

Nik Azman berkata, prestasi perbelanjaan dan pelaksanaan projek pembangunan kerajaan negeri pada 2020 adalah berada pada kedudukan yang baik, iaitu sejumlah RM605.80 juta atau 86.6 peratus telah dibelanjakan berbanding RM699.29 juta peruntukan yang diluluskan.

"Sebanyak 4,426 projek telah dirancang, dengan 4,294 projek (97 peratus) telah disiapkan sepenuhnya, 52 projek (1.2 peratus) sedang dilaksanakan dan 80 projek (1.8 peratus) belum dimulakan,” katanya.

Sementara itu, baki Pinjaman Boleh Dituntut Kerajaan Terengganu telah menurun sebanyak RM11.67 juta atau 6.2 peratus daripada RM189.20 juta pada 2019 kepada RM177.53 juta pada 2020. -Bernama. 
 


Tag: