• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

Khairuddin Mahu Teroka Potensi Pasaran Baharu

Khairuddin (tengah), Wee Jeck Seng (kiri) dan Willie Mongin (kanan).

PUTRAJAYA, 10 Mac - Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali yang memulakan tugas hari ini menyatakan komitmen untuk meneroka potensi pasaran baharu dalam tiga bidang tersebut.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus berkata, langkah itu sangat perlu bagi memastikan negara tidak hanya tertumpu kepada pasaran sedia ada.

"Di samping kita akan terus mengekal dan mengukuhkan pasaran sedia ada yang sudah kita kuasai iaitu minyak sawit melibatkan empat negara utama di India, China, Eropah dan Amerika Syarikat.

"Mudah-mudahan pasaran baharu itu akan membantu hampir sejuta rakyat Malaysia yang terlibat dalam bidang minyak sawit khususnya," katanya dalam sidang media selepas melapor diri dan menghadiri taklimat kementerian itu di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri I, Datuk Wee Jeck Seng dan Timbalan Menteri II, Willie Mongin.

Mengulas lanjut, Khairuddin menegaskan, matlamat itu akan direalisasikan dengan mengadakan rundingan bersama negara luar oleh kementeriannya.
Khairuddin berkata, kementerian itu akan diperkasakan dengan dua paksi utama iaitu kualiti dan integriti.
"Dalam merealisasikan kewujudan pasaran baharu terutamanya dalam mengimport minyak kelapa sawit perkara tersebut (rundingan) akan kita usahakan.

"Pentingnya untuk kita berunding dan saya yakin dengan rundingan pelbagai perkara boleh kita selesaikan kerana rundingan adalah asas kepada penyelesaian masalah," katanya.

Terdahulu, beliau memaklumkan pasukan kerja yang dibentuk nanti akan melibatkan segala kepakaran.

"Mereka dibentuk dengan menggabungkan pelbagai kepakaran sama ada pada tenaga fikir kementerian, pengkaji dan penyelidik universiti.

"Mahupun juga pengalaman pemain industri bagi menghadapi pelbagai cabaran dalam sektor perladangan dan komoditi seperti isu kemampanan, diskriminasi produk dan kempen anti minyak sawit di peringkat antarabangsa," ujarnya



Tag: