• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Khairuddin Mohon Maaf, Pulang Semula Gaji Empat Bulan


KUALA TERENGGANU, 22 Ogos - Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali membuat permohonan maaf terbuka selepas gagal mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) kuarantin wajib.

Sebagai menebus kekhilafan itu juga, beliau berkata, semua gaji sebagai Menteri bagi bulan Mei hingga Ogos 2020 akan didermakan kepada Tabung Bantuan Bencana Negara (Tabung COVID-19) di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Gaji Mac dan April 2020 juga telah disumbangkan sebelum ini ke Tabung tersebut sebagaimana keputusan Kabinet. 

"Saya juga akan terus bekerja keras dan melipat-gandakan lagi segala usaha dan tenaga saya untuk melaksanakan tugasan amanah sebagai Menteri bagi memastikan semua rakyat yang terlibat di bidang perladangan dan komoditi, khususnya lebih sejuta pekebun kecil B40 sentiasa mendapat manfaat dan terbela kebajikan mereka," ujarnya dalam satu kenyataan rasmi hari ini.

Terdahulu, KKM telah mengenakan kompaun RM1,000 kepada Ahli Parlimen Kuala Nerus itu atas kesalahan terbabit.

Mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342), semua individu yang baru tiba dari luar negara sama ada warga negara atau warga asing perlu menjalani kuarantin wajib selama 14 hari sebagai langkah mengekang penularan virus COVID-19.

Kementerian Kesihatan (KKM) dalam kenyataannya, berkata Mohd Khairuddin melakukan kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 [Akta342].

"Ekoran kegagalannya mematuhi peraturan mengikut akta berkenaan, Pegawai Diberi Kuasa (PDK) sudah mengeluarkan kompaun sebanyak RM1,000 kepada beliau pada 7 Ogos lalu dan beliau sudah membayarnya," ujar KKM dalam kenyataan rasmi.

Menurut KKM, Mohd Khairuddin pulang ke negara ini dari Turki pada 7 Julai lalu sebelum menjalani ujian pengambilan sampel 'nasopharyngeal swab' kali pertama pada hari yang sama yang didapati negatif.

"Ujian kedua dan ketiga juga didapati negatif," jelas kenyataan itu lagi.


Tag: