• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Khairunnisa' Dekati Ibu Tunggal

KEMAMAN, 1 Oktober - Persatuan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Terengganu (Khairunnisa') yang merupakan badan bukan kerajaan (NGO) telah mengadakan pelbagai program termasuklah Ramah Mesra Bersama Ibu Tunggal Peringkat DUN (Dewan Undangan Negeri) Cukai yang diadakan di Restoran Cahaya Mesra, Kampung Besut, hari ini. 

Ahli Jawatankuasa Khairunnisa' Terengganu, Zahiyah Rahman berkata program tersebut diadakan untuk mendekati golongan ini serta merapatkan ukhwah di antara satu sama lain. 

"Saya faham, meneruskan kehidupan dan membesarkan anak bersendirian tanpa suami bukanlah satu pilihan. Namun ianya satu takdir yang telah diatur oleh Allah SWT untuk dijalani. Ibulah yang menjadi ibu, ibu jualah yang menjadi bapa," ujarnya. 

Katanya lagi, membesar anak sendirian bukanlah sesuatu perkara yang mudah. Ianya memerlukan kekuatan mental dan fizikal yang cukup kuat. 

"Saya memahaminya, berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Namun saya yakin muslimat sekalian sangat kuat dan tabah dalam menghadapi perkara ini," katanya.

Beliau turut mengingatkan agar golongan ibu tunggal ini haruslah meletakkan sepenuhnya keyakinan dan meminta pertolongan kepada Allah S.W.T. 

"Janganlah berputus harap dan sentiasalah berdoa meminta kekuatan serta kesabaran terutama ketika dalam setiap solat kita."

Beliau yang juga merupakan isteri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, Hanafiah Mat berkata demikian ketika berucap di hadapan 80 orang ibu tunggal yang hadir dalam majlis itu.

Mereka yang hadir turut dijamu makanan dan  minuman serta setiap seorang menerima cenderahati sebelum bersurai.

Turut hadir dalam majlis tersebut iaitu Penolong Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (I-MiTS) DUN Cukai, Fainah Mat dan Pengerusi Kelab Ibu Tunggal DUN Cukai, Norhamiza Mohd Nor.

Khairunnisa' Terengganu merupakan Persatuan Isteri Wakil Rakyat dan Isteri Bekas Wakil Rakyat Terengganu.


Tag: