• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Khairunnisa' Sumbang Keperluan PKRC Terengganu

KUALA TERENGGANU, 25 Oktober - Persatuan Isteri Wakil-Wakil Rakyat dan Bekas Wakil-Wakil Rakyat Pas Terengganu (Khairunnisa') tampil menghulurkan bantuan untuk pusat kuarantin yang memerlukan sumbangan.

Pengerusinya, To' Puan Seri Tuan Faizah Tuan Abd Rahman berkata, walaupun dalam keadaan yang semakin pulih dengan pengurangan kes-kes positif Covid-19 secara mendadak, pihaknya berwaspada dan prihatin terhadap Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) yang masih dibuka dan menjalankan rawatan.

"Kita prihatin akan keperluan kakitangan dan pesakit yang masih berada di pusat kuarantin di mana mereka menjalankan tugas dan rawatan. Justeru hari ini kita menghulurkan sumbangan untuk PKRC Stadium Negeri ini.

"Kita menderma sebanyak 100 karton air serta beberapa set alat untuk perkhidmatan perubatan seperti glucometer (alat kesan tahap kencing manis), BP (blood pressure) scan, thermoscan dan sebagainya.

"Alhamdulillah kami mendapat maklumat barang-barang keperluan PKRC daripada Ketua Kluster Kesihatan Khairunnisa', Dr Farhaana Abdullah," katanya ketika ditemui pemberita pada serahan bantuan berkenaan di sini hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita, Zuraida Md Noor dan ahli-ahli Khairunnisa'.

Kira-kira RM3,000 diperuntukkan bagi agihan tersebut selain mereka turut merancang untuk menyerahkan sumbangan seumpamanya kepada pihak yang memerlukan.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Hospital Sultanah Nur Zahirah, Dr Siti Salmy Mat Nor berkata, pihaknya sangat berterima kasih kepada Khairunnisa' atas kecaknaan membabitkan keperluan mereka sepanjang rawatan.

"Saya mewakili PKRC di sini khususnya mengucapkan terima kasih kepada To' Puan Seri dan Khairunnisa' yang sudi datang pada hari ini dan menyumbangkan sumbangan yang sangat kami hargai.

"Air minuman semestinya keperluan utama di samping alat perubatan yang disumbangkan akan membantu pengurusan kami di sini," katanya.


Tag: