• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Khatan Bersasar Ringankan Beban Ibu Bapa

DUNGUN, 20 Disember- Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri  (PKMD) Bukit Besi telah menganjurkan program berkatan secara bersasar bagi membantu meringankan beban ibu bapa.

Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata program tersebut diadakan dengan menyasarkan anak-anak yang berumur 11 tahun ke atas.

"Mereka sudah hampir kepada usia sepatutnya untuk berkhatan, dimana kita hanya mengenakan sedikit bayaran sebanyak RM50 lebih murah berbanding harga biasa. Manakala bagi anak yatim kita tidak mengenakan sebarang bayaran.

"Tahun ini merupakan tahun ketiga kita adakan, cuma berlaku perbezaan dimana tahun ini kita menghadapi norma baru maka penyertaan hanya dihadkan kepada 18 peserta sahaja tidak sebagaimana tahun-tahun sebelum ini yang kita adakan secara perdana," ujarnya.

Beliau berkata demikian, ketika ditemui pihak media ketika hadir pada program berkenaan, di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Bukit Besi, semalam.

Mengulas lanjut katanya bagi memastikan Prosedur Operasi Standard (SOP) dipatuhi, pelaksaan program berkenaan tidak mengambil masa yang lama.

"Sedikit taklimat diberikan kepada anak-anak dan ibu bapa, kemudian tanpa membuang masa setelah diadakan sedikit bacaan doa terus masuk ke bilik untuk dilakukan proses berkhatan. Alhamdulillah, berjaya diadakan dengan jayanya," ujarnya.

Sementara itu ibu kepada seorang peserta, Maznah Md Nor, 39 sangat berterima kasih diatas penganjuran berkenaan.

"Sangat berbaloi sebab kalau hendak diikutkan kosnya memang agak tinggi, jadi dengan program sebegini dapatlah menjimatkan sedikit kos perbelanjan keluarga bagi orang yang kurang mampu.

"Macam saya ini anak pula kembar, kalau hendak pergi ke tempat lain memang rasanya besar jugalah belanja, sangat bersyukurlah dengan insiatif yang diadakan ini. Program ini kalau boleh patut diadakan pada setiap tahun bagi membantu masyarakat di sini, ini merupakan kali ketiga dah saya sertai semenjak tahun 2018 diadakan, memang tiap-tiap tahun saya ikuti program dianjurkan oleh PKMD ini ," ujarnya.


Tag: