Terengganu, TNB Genco Meterai Perjanjian Optimum Sumber Hidro
Khatan Perdana di Hulu Besut Meriah
BESUT, 6 Februari – Seramai 100 kanak-kanak telah menyertai Program Khatan Beramai-Ramai yang berlangsung dengan penuh meriah di Masjid Bukit Payong, Dewan Undangan Negeri (DUN)Hulu Besut.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut Mohd Husaimi Hussin berkata pelbagai gelagat peserta yang dapat disaksikan, ada yang ceria, tenang, dan tidak kurang juga yang sedikit gementar tapi pengalaman ini pasti menjadi kenangan terindah sepanjang hayat mereka.
"Program ini bukan sahaja menjadi simbol keberanian kanak-kanak yang melangkah ke fasa baru dalam kehidupan, tetapi juga memperkukuhkan amalan sunnah dalam Islam.
"Selain itu, khatan turut diiktiraf sebagai satu amalan yang bermanfaat dari sudut kesihatan dan kebersihan.
"Ia bukan sekadar memenuhi tuntutan agama, malah memupuk ukhuwah Islamiah serta semangat keberanian dalam diri anak-anak,"ujarnya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), di sini, baru-baru ini.
Dalam pada itu beliau mengucapkan Setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah bertungkus-lumus menjayakan majlis ini yang turut melibatkan ibu bapa, petugas kesihatan dari Farmasi Ibnu Sina, Bomba Jerteh, pihak Masjid Bukit Payong serta semua yang telah menjayakannya.
"Tanpa usaha dan komitmen mereka, program ini tidak akan dapat direalisasikan dengan jayanya..
"Semoga semua peserta khatan diberikan kesembuhan yang cepat dan kembali aktif seperti biasa. Selamat berpantang, dan semoga Allah SWT melimpahkan keberkatan kepada kita semua,"katanya.