• 03 Mei 2024 | 24 Syawal 1445

KHIDMAT Dungun Hantar Bekalan Air Bersih Ke Besut

DUNGUN, 6 Januari- Khidmat Pengurusan Kecemasan & Bencana Malaysia (KHIDMAT Malaysia) Dungun mengambil inisiatif dengan menghantar bekalan air bersih bagi kegunaan penduduk terjejas susulan masalah paip air bocor yang berlaku di dasar sungai dekat Jambatan Kampung Lampu, Besut sejak minggu lalu.

Pengarahnya, Khairul Ismail berkata, misi membawa bantuan air ke  Besut itu disertai seramai 20 orang dari Jabatan Amal Malaysia (JAM) Dungun dan Kelab Kebajikan Dan Rekreasi Peminat Pacuan Empat Roda Dungun (PADAT).

"Manakala jentera yang terlibat adalah dua buah lori tiga tan dan empat buah kenderaan pacuan empat roda (4x4) yang setiap kenderaan ini dilengkapi dengan tangki air," ujarnya ketika dihubungi pemberita. 

Menurut beliau, pihaknya ditugaskan untuk mengagihkan bekalan air bersih di Kampung Limbungan dan Seberang Kastam dalam DUN Kota Putera.

"Jadi dalam operasi kali ini kita akan hantar air dari rumah ke rumah, " ujarnya. 

Terdahulu, Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) dalam satu kenyataan sebelum ini memaklumkan, kebocoran paip tersebut telah mengakibatkan gangguan bekalan air berlaku di 11 kampung melibatkan Tangki Air Bukit Keluang di daerah tersebut.

Katanya,  kebocoran paip bersaiz 600 mm itu mengakibatkan seramai 2,670 akaun pengguna dijangka menghadapi gangguan bekalan air bermula 1 hingga 21 Januari nanti, sementara kerja baik pulih dijalankan oleh kontraktor yang dilantik.

Bagaimanapun katanya, sebanyak enam lori tangki air dan 49 tangki statik sedang ditempatkan di kawasan terjejas dengan memberi keutamaan kepada premis-premis kritikal sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual itu.


Tag: