• 30 Apr 2024 | 21 Syawal 1445

Khidmat Malaysia Bantu Ringan Beban Mangsa Banjir

DUNGUN, 29 Disember - Beberapa Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) termasuk Khidmat Malaysia Kawasan Dungun bersama Jabatan Amal Malaysia (JAM) Paka, Muslimat Paka, agensi kerajaan, dan kelab belia telah berganding bahu menghulurkan bantuan kepada penduduk di gugusan Felda Rasau Kerteh yang pertama kali berdepan bencana banjir. 

Pengerusi Khidmat Malaysia Kawasan Dungun, Khairul Ismail berkata, pihaknya menyegerakan operasi gotong-royong kerana di beberapa tempat lain di daerah Dungun sedang juga dilanda banjir.

"Kita harap dapat selesaikan secepatnya kerja-kerja bantuan di kawasan Felda ini, sebabnya di Durian Mentangau dan kawasan Bukit Besi juga akan perlukan pertolongan dari pasukan kita nanti," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa operasi berkenaan di salah sebuah rumah yang terjejas banjir.

Katanya, skop tugasan telah diagihkan mengikut kemampuan masing-masing bagi melancarkan pergerakan kerja.

"Bagi muslimin atau JAM Paka, kita tugaskan untuk melakukan tugas-tugas berat seperti mengangkat barang-barang rosak yang diletakkan di luar rumah mereka.

"Sementara Muslimat Paka atau wanita bertanggungjawab untuk membersih dan mencuci pinggan, mangkuk, baju, dan benda-benda lain yang boleh diguna semula," ujarnya lagi.

Selain itu, beliau menjelaskan cuaca yang agak baik pada hari itu memberi keizinan dan kemudahan kepada pasukan untuk menjalankan operasi dengan lancar.

"Alhamdulillah, walaupun hujan sekejap-sekejap tetapi ia tidak mengganggu urusan kerja kami," jelasnya.

Difahamkan, seramai 63 keluarga menjadi mangsa tragedi banjir besar yang kali pertama berlaku di kawasan itu sejak 40 tahun lalu. 


Tag: