• 23 Apr 2024 | 14 Syawal 1445

Khidmat Malaysia Kuala Terengganu Bersihkan 180 Rumah Mangsa Banjir

KUALA TERENGGANU, 27 Disember – Khidmat Malaysia Kuala Terengganu (KMKT) telah membantu membersihkan 180 buah rumah mangsa banjir di Kuantan, Pahang pada 23 Disember lalu.

Misi bantuan tersebut telah dijalankan selama tiga hari dan disertai seramai 286 orang sukarelawan dari seluruh Kuala Terengganu.

Pelancaran Konvoi Misi Bantuan Banjir ke Pahang oleh ADUN Wakaf Mempelam

Menurut Pengarah Operasi Misi Bantuan Banjir Pahang, Ahmad Asyraf An-Nawawi, antara kawasan yang telah dibersihkan ialah Kampung (Kg) Chendering, Bukit Rangin dan Perumahan Awam Kos Rendah Sungai Pandan.

“Selain membersihkan rumah mangsa, pihak kami juga telah mengadakan program dapur rakyat untuk mengagihkan makanan buat mangsa,” katanya kepada pemberita.

Tambahnya lagi, sumbangan berupa wang ringgit, pakaian dan barangan keperluan asas juga telah diagihkan kepada mangsa banjir.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Hj. Ahmad Amzad Hashim, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi dan ADUN Wakaf Mempelam, Wan Sukairi Wan Abdullah selaku Pengarah KMKT juga turut bersama dalam misi bantuan banjir ini.

ADUN Batu Buruk turut sama menyertai gotong-royong membersihkan rumah mangsa