• 04 Mei 2024 | 25 Syawal 1445

Kim Pan Gon Puji Fasiliti Stadium Terengganu

KUALA NERUS, 13 Jun- Pengendali pasukan kebangsaan, Kim Pan Gon memuji infrastruktur dan kemudahan disediakan Terengganu, khususnya melalui pengurusan Terengganu FC kepada pemain-pemain skuad Harimau Malaya.

Menurutnya, penetapan lokasi perlawanan persahabatan antarabangsa kali ini merupakan peluang untuk mengenali dan merasai suasana baru di Pantai Timur ini.

"Terima kasih Terengganu, kerana menyediakan kemudahan yang baik, padang yang baik dan pemain kami menikmatinya, terima kasih.

"Terengganu juga memiliki bandar yang cantik, makanan yang enak, tetapi kami tidak dapat menerokainya secara keseluruhan.

"Saya harap, kami dapat memberikan kemenangan untuk penyokong dan kami mencuba sebaik mungkin untuk mengekalkan kemenangan moral pasukan," katanya dalam sidang media pra-perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 menentang Solomon Island, hari ini.

Jurulatih dari Korea Selatan itu turut memandang serius pertembungan pertama menentang negara dari benua Oceania itu.

"Setiap satu perlawanan kami mahukan kemenangan, namun pencapaian dalam melaksanakan apa yang dirancang adalah lebih penting dari kemenangan tersebut.

"Terutamanya seperti yang saya katakan, disini bagaikan kubu kami, sesiapa pun yang datang kita akan menewaskan mereka.

"Ini adalah budaya bola sepak yang kita cuba ketengahkan," katanya.

Skuad Harimau Malaya akan melayan kunjungan Solomon Island, malam esok sebelum menentang Papua New Guinea pada 20 Jun ini dan kedua-dua perlawanan akan berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Gong Badak.

 

 

 

 


Tag: