'Kini Kami Jelas Hala Tuju Kerajaan Negeri'
KEMAMAN, 6 Mac - Kerajaan negeri melalui Yayasan Terengganu (YT) mengadakan Muzakarah Intelektual Mahasiswa Penerima-Penerima Biasiswa Skim Pelajar Cemerlang (SPC) bersempena Sambutan Jubli Emas Ke-50 Tahun Yayasan Terengganu, baru-baru ini.
Program anjuran YT itu menghimpunkan 270 penerima biasiswa SPC ambilan 2019 hingga 2021 bagi merapatkan jurang antara mahasiswa dan kepimpinan kerajaan negeri serta penjelasan aspirasi pentadbiran kerajaan.
Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Samsuri Mokhtar turut hadir ke Majlis Dialog Mahasiswa Penerima-Penerima Biasiswa Skim Pelajar Cemerlang (SPC) yang menjadi antara acara program tersebut.
Sesi tersebut memberi ruang kepada para mahasiswa bertanya secara terus kepada pemimpin utama negeri berkenaan inisiatif kerajaan buat golongan muda serta hal ehwal pentadbiran.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat; Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO, Hishamuddin Abdul Karim dan Ahli Dewan Undangan Negeri Cukai, Hanafiah Mat.
Seorang penerima biasiswa, Muhammad Hafizudin Shari, 26, merakamkan penghargaan buat kerajaan negeri atas anjuran pertemuan sedemikian yang memberi ruang kepada peserta mendalami agenda pembangunan negeri.
“Kami diberi pendedahan tentang hasrat Terengganu melalui skim ini, maka kami rasa bertanggungjawab untuk kembali membalas jasa kerajaan negeri kelak.
“Program ini sangat bermanfaat dalam memberi pendedahan tentang hala tuju kerajaan terutama bagi pemegang biasiswa SPC,” katanya.
Dia yang kini menyambung pengajian sarjana kewangan Islam di Universiti Malaya turut berkata, program sedemikian wajar diteruskan pada masa akan datang terutama bagi penerima manfaat kerajaan.
Bagi Akmal Dahlia Mohamad, 22, penuntut Universiti Kebangsaan Malaysia pula berkata, dapatan yang diperoleh sepanjang program adalah pendedahan tentang Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS2030), peluang pekerjaan sejajar revolusi perindustrian 4.0 (IR4.0) serta kebolehpasaran graduan kelak.
“Ini satu inisiatif yang baik daripada kerajaan untuk kami yang kurang berkemampuan dan memberi semangat unuk belajar dengan insentif yang diterima,” ujarnya kepada pemberita.