KEMAMAN, 18 Februari – Kerajaan negeri Terengganu akan membuka lapan kiosk lemang di Hentian Sebelah Kijal Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) menjelang Ramadan ini.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman, berkata usaha tersebut sudah lama dirancang bagi membawa Lemang Kijal ke lokasi lebih strategik.
"Inisiatif ini bagi memudahkan pengguna lebuh raya membeli lemang tanpa perlu memasuki jalan lama.
"Lemang memang sinonim dengan orang Terengganu, terutama Lemang Kijal. Sebelum ini, pengguna lebuh raya perlu melalui laluan pantai untuk mendapatkannya, tetapi sekarang mereka boleh membelinya di lokasi yang lebih mudah," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan tapak ke cadangan Kiosk Lemang di Hentian Sebelah Kijal (arah Barat) di sini semalam.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Razali Idris, berkata projek tersebut hasil perbincangan bersama pengusaha lemang, YPU dan para Usahawan untuk memastikan perniagaan makanan tradisional itu terus berkembang.
"Sebelum ini, lemang hanya popular di peringkat negeri. Sekarang, kita mahu ia menjadi buah mulut orang ramai dan menarik lebih banyak pelancong ke Terengganu.
"Hari ini, kita telah mendapat persetujuan daripada Lembaga Lebuhraya Malaysia dan pihak Lebuhraya Pantai Timur (LPT) untuk lokasi yang sesuai. InsyaAllah, 'port' lemang akan berpindah ke sini," katanya.
Beliau berkata hanya peniaga tempatan dari Kijal yang terlibat dalam projek ini. Daripada 30 peniaga asal di jalan lama, lapan orang telah dipilih untuk berpindah ke lokasi baharu.
"Kami mahu memastikan kualiti lemang terjaga, dari segi rasa, kebersihan, dan layanan kepada pelanggan kerana mereka kini beroperasi di peringkat kebangsaan.
"Jadi, kami akan mengadakan bengkel khas untuk mengajar peniaga tentang etika perniagaan dan cara melayan pelanggan dengan baik," ujarnya.