• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Kit Peperiksaan Suntik Semangat Pelajar

KUALA NERUS, 22 Februari - Lebih 450 unit kit peperiksaan disedia dan diagihkan kepada calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM 2020) bagi menyuntik semangat mereka.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Ustaz Ridzuan Hashim berkata, suntikan semangat adalah penting kerana mereka telah berdepan dengan pelbagai cabaran susulan penularan pandemik COVID-19.

“Kita agihkan kit ini dari rumah ke rumah kepada mereka sendiri, bagi menyuntik semangat secara langsung kepada mereka,

“Semangat ini sangat penting, bagi mempersiapkan diri untuk menjawab peperiksaan nanti di samping ilmu yang dipelajari daripada guru-guru,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam program agihan kit peperiksaan dari rumah ke rumah di sekitar Kampung Teluk Pasu, semalam.

Isteri ADUN Buluh Gading, Ustazah Tuan Roslina Tuan Sulaiman menyerahkan kit peperiksaan kepada ibu  bapa pelajar

 

Beliau juga memaklumkan, kit telah diagihkan kepada semua Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dalam DUN Buluh Gading untuk diserahkan kepada semua calon SPM 2020 dalam kampung masing-masing.

“Dalam setiap kit, kita sediakan beberapa set alat tulis, set mekanikal geometri dan juga air solat hajat dan bacaan yasin.

“Kita berharap dengan adanya kit ini, dapat meringankan sedikit beban pelajar serta memberi motivasi kepada mereka dalam menduduki peperiksaan mulai esok (hari ini),” tambah beliau lagi.

Ustaz Ridzuan juga menegaskan tumpuan dan perhatian kepada keperluan para pelajar seperti ini adalah penting dalam melahirkan modal insan yang berkualiti secara konsisten.

“Kita tidak mahu disebabkan pandemik COVID-19 ini, persiapan modal insan menjadi terbantut, yang akan memberi kesan kepada pembangunan negara pada masa akan datang,” tegas beliau.


Tag: