• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Kit Ujian COVID-19 : Kerajaan Beri Tempoh Seminggu Kepada Peniaga

HULU TERENGGANU, 4 September - Kerajaan bersetuju memberi tempoh seminggu kepada peniaga dan pengusaha farmasi untuk menghabiskan stok sedia ada kit ujian kendiri COVID-19 bermula esok.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna(KPDNHEP), Dato' Rosol Wahid berkata, ia bagi mengelakkan kerugian kepada peniaga-peniaga setelah kerajaan bersetuju menetapkan harga siling kit ujian kendiri pada 5 September 2020.

Katanya perkara tersebut telah dimaklumkan lebih awal kepada peniaga dan pengusaha farmasi bagi mengelakkan mereka mengalami kerugian selepas penetapan harga siling.

"Kita faham mereka membeli stok sedia ada dengan harga yang tertentu dan jika dijual mengikut harga ditetapkan nanti, ia akan merugikan peniaga-peniaga.

"Jadi selepas seminggu, kita akan lakukan pemeriksaan dan tindakan  akan diambil sekiranya masih ada lagi di kalangan mereka yang menjual lebih daripada harga yang sepatutnya," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat projek kelompok ternakan ikan air tawar generasi kedua Felda Bukit Bading di sini hari ini.

Tambahnya, tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan ini di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

Sementara itu, Rosol berkata, sekiranya terdapat kit ujian kendiri palsu dalam pasaran, orang ramai boleh membuat aduan kepada KPDNHEP untuk tindakan.

'Laporan rasmi tidak ada cuma sekadar 'hearsay' ada kit ujian palsu yang dijual dengan harga mahal....jadi kita berharap agar  pengguna yang merasa tertipu tampil membuat laporan...yang penting mereka kena simpan resit pembelian sebagai bukti," katanya

Terdahulu, KPDNHEP menetapkan harga runcit maksimum bagi setiap set kit ujian kendiri COVID-19 pada harga RM19.90, manakala harga borong ditetapkan RM16 berkuat kuasa Ahad ini.