• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

KUALA TERENGGANU, 25 November - Situasi pandemik COVID-19 yang melanda banyak menjejaskan peluang ekonomi masyarakat dan meningkatkan pengangguran.

Namun begitu, Terengganu menegaskan bahawa kerajaan negeri berada di landasan yang betul untuk mengurangkan kadar pengangguran di negeri itu.

Pengerusi jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman menjelaskan, penubuhan Pusat Pembangunan Sumber Manusia Negeri Terengganu atau 'Terengganu Human Resource Development Center' (THRDC) banyak membantu usaha-usaha menyelesaikan kadar pengangguran dalam negeri.

"Jika kita meilhat data Jabatan Perangkaan Malaysia, pada tahun 2018, kadar pengangguran di Terengganu adalah sebanyak 4.8 peratus dan menurun kepada 3.5 peratus pada tahun lalu.

"Manakala, bagi suku pertama 2020, kadar menurun kepada 3.3 peratus tetapi pada suku kedua iaitu selepas pandemik COVID-19, ia meningkat kepada 3.8 peratus," katanya ketika ditemui pemberita selepas sesi terakhir Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di Wisma Darul Iman, hari ini.

Jelasnya, bagi menangani masalah penggangguran di negeri Terengganu, beberapa tindakan bersepadu telah diambil kerajaan negeri melalui kerjasama pelbagai pihak.

"Antaranya, kita berkerja rapat dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kerana mereka adalah salah satu agensi yang menguruskan dana bantuan kerajaan Persekutuan melalui Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) Malaysia bagi membantu golongan yang kehilangan pekerjaan. 

"Kita juga bercadang mengadakan karnival kerjaya pada Oktober lalu tetapi ditangguhkan. Namun, bagi program itu kita ditawarkan lebih 80 majikan dengan hampir 10,000 kekosongan jawatan dan sekiranya ia dilaksanakan nanti akan membantu mengurangkan kadar pengangguran negeri," katanya.


Tag: