• 03 Mei 2024 | 24 Syawal 1445

'Kita Manusia Bukan Malaikat'

DUNGUN, 6 Januari - "Kita manusia bukan malaikat. Kekurangan sikit-sikit tu biasalah. InsyaAllah kita balas balik kepercayaan yang diberikan rakyat pada penggal ini dengan memberi perkhidmatan yang terbaik untuk mereka".

Itu antara pesanan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato' Satiful Bahri Mamat kepada pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Keselamatan Kampung (JPKK) DUN Paka.

Katanya, kejayaan pengurusan kampung tidak dapat dicapai tanpa sokongan dan kerjasama yang kukuh dari setiap komuniti.

"JPKK perlu ada kerjasama dalam komuniti untuk melancarkan pengurusan pentadbiran sesebuah kampung," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Watikah Pelantikan JPKK DUN Paka di Rumbi Resort, Paka, semalam.

Beliau menjelaskan, sebagai tanda penghargaan kepada pengundi yang memberikan sokongan kepada PAS, kepercayaan rakyat adalah aset terbesar untuk berkhidmat.

"Sebab rakyat yang mengundi kita inilah pemegang taruh sebenarnya kepada kerajaan kita (PAS) memerintah. Dia yang memilih kita," ujarnya.

Beliau turut mengajak ahli jawatankuasa JPKK agar saling berkongsi pengalaman dan bekerjasama dalam meningkatkan keselamatan dan keamanan di kawasan masing-masing.

"JPKK perlu saling berkongsi pengalaman untuk memastikan kejayaan kita dalam menjalankan tanggungjawab ini.

"Kepada pengerusi JPKK yang lama, sama-samalah kita berkongsi ilmu dan pengalaman kepada yang lain agar pengurusan kita lebih selaras," katanya. 

Beliau juga berharap agar momentum kemenangan dalam PRU dapat diteruskan dengan memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

"Kita harap dapat kekalkan momentum kemenangan ini dan jangan disia-siakan, kepercayaan yang diberikan oleh rakyat itu kita balas dengan memberikan perkhidmatan yang terbaik," ujarnya.


Tag: