KUALA TERENGGANU, 29 Julai – (KMI) Kuala Terengganu Medical Centre di bawah pengurusan Kumpulan Medik Iman Sdn Bhd menyasarkan kemasukan lebih ramai pesakit dari Indonesia menerusi pembangunan sektor pelancongan perubatan (medical tourism), sekali gus menyokong pertumbuhan industri pelancongan negeri.
Pengurus Besar KMI Kuala Terengganu Medical Centre Muhammad Ghazali Zainal Yusof, berkata, usaha itu melalui lawatan delegasi Medical Concierge Asia bersama wakil media dari Republik Indonesia bagi meninjau sendiri kepakaran dan kemudahan yang disediakan hospital berkenaan.
Menurutnya, lawatan itu menjadi platform memperkenalkan pelbagai perkhidmatan kesihatan yang ditawarkan, termasuk kepakaran dalam pembedahan am, ortopedik dan traumatologi, obstetrik dan ginekologi (O&G), pediatrik, perubatan dalaman serta kardiologi.
"Antara perkhidmatan unggulan kami ialah Pusat Kardiologi yang dilengkapi Makmal Kateterisasi Jantung (Cath Lab) moden bagi menjalankan prosedur angiogram, angioplasti, pemasangan stent dan rawatan kecemasan pesakit serangan jantung," jelasnya ketika ditemui media di KMI Kuala Terengganu, hari ini.

Menurutnya, KMI Kuala Terengganu kini sedang membangunkan pakej pelancongan perubatan yang menggabungkan rawatan kesihatan dengan aktiviti pelancongan bagi memenuhi keperluan pesakit dari Indonesia.
"Kami bukan sekadar menawarkan rawatan, tetapi turut menyediakan pakej yang disesuaikan mengikut keperluan pesakit, termasuk lawatan ke bandar, pulau dan pantai menarik di Terengganu.
"Harga pakej pemeriksaan kesihatan bermula sekitar RM3,000 bergantung kepada jenis saringan yang dipilih," ujarnya.
Muhammad Ghazali berkata, antara kelebihan KMI Kuala Terengganu ialah semua pesakit ditempatkan di bilik persendirian tanpa perkongsian, sekali gus memberikan lebih keselesaan, privasi dan tumpuan sepanjang menerima rawatan.

"Kami juga sedang dalam rangka, jangka masa pendek ini, pelan induk kami, kami juga ingin mengadakan penerbangan langsung dari kota-kota yang ada di Indonesia.
"(Kota-kotanya) masih lagi kami rangkakan dan kami akan umum sekiranya berjaya.
"Kalau melihat daripada segi perjalanan menggunakan kereta, daripada Kuala Lumpur mungkin lima jam melalui jalan darat. Tapi kami juga mempunyai konektif penerbangan dari Kuala Lumpur terus ke Kuala Terengganu selama 45 minit," katanya.
Justeru itu, beliau berharap usaha itu mampu menarik lebih ramai pesakit Indonesia untuk datang mendapat rawatan di KMI Kuala Tengganu sekaligus dalam masa sama merancakkan industri pelancongan di negeri ini.
"Dalam jangka panjang, KMI Healthcare turut merancang untuk menjalin kerjasama dengan institusi kesihatan di Indonesia bagi meneroka lebih banyak peluang kolaborasi yang dapat memberi manfaat kepada kedua-dua pihak," katanya.

Bagaimanapun, katanya, KMI Healthcare turut merancang untuk memperluaskan rangkaian kerjasama ke negara lain pada masa hadapan, termasuk negara-negara di Timur Tengah.
"Kami berharap kerjasama yang dibina ini akan membuka lebih banyak peluang kepada KMI Kuala Terengganu untuk menjadi pilihan utama pesakit antarabangsa, sekali gus mengukuhkan kedudukan Terengganu sebagai destinasi pelancongan perubatan di rantau ini," katanya.
Lawatan tersebut disertai sembilan delegasi yang mewakili Medical Concierge Asia, Flydoc (Medevac), GTV News, TVOne News, Akurat News dan penyelaras media dari Republik Indonesia.
