• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

KMKT Agih 2,000 Pek Makanan Kepada Mangsa Banjir Hulu Terengganu

KUALA TERENGGANU, 8 Mac – Badan Bukan Kerajaan Khidmat Malaysia Kuala Terengganu (KMKT) mengagihkan 2,000 pek makanan selama tiga hari berturut-turut kepada mangsa banjir Hulu Terengganu.

Pengerusi KMKT, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, makanan tersebut telah dimasak dan dibungkus di Markaz Tarbiyah Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam sebelum di hantar ke DUN Telemong.

“Bermula 5 Mac hingga 7 Mac kami sediakan makan tengah hari dan makan malam untuk 1,000 orang penduduk di DUN Telemong.

“Insya-Allah, jumlah tersebut cukup untuk menampung penduduk dalam kira-kira empat atau lima buah kampung di sana,” katanya  kepada pemberita.

Menurut beliau lagi, KMKT masih lagi membuka peluang kepada orang ramai yang ingin menyumbang kepada mangsa bajir di sana.

KMKT kini sedang mengumpulkan sumbangan untuk memberikan bantuan barangan elektrik seperti dapur gas dan periuk nasi elektrik.

Sumbangan boleh disalurkan ke akaun Bank Islam Pertubuhan Khidmat Sukarelawan Kuala Terengganu (1301 7018 3058 67).