• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Kod Etika Wakil Rakyat Bakal Diperkenalkan Di Terengganu

Oleh : Rohayati Ripin

KUALA TERENGGANU, 9 Mac - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu bercadang untuk memperkenalkan Kod Etika dan Tatakelakuan yang berpotensi dilaksanakan di peringkat Parlimen kepada Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Terengganu.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato' Yahaya Ali berkata, cadangan Kod Etika dan Tatakelakuan ADUN Terengganu itu akan dibincangkan dengan Menteri Besar Terengganu.

“Ada satu Kod Etika (Tatakelakuan) yang dicadangkan oleh SPRM, yang telah pun dilaksanakan di peringkat nasional khususnya kepada Ahli-ahli Parlimen Malaysia. 

“Jadi saya berhasrat untuk berbincang (Kod Etika) ini dengan Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, supaya kod etika ini bukan sahaja ada di peringkat Ahli-ahli Parlimen tetapi boleh dilaksanakan di peringkat negeri supaya kita ada satu garis panduan menguruskan integriti dan kepentingan orang ramai,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab persoalan pemberita pada sidang media bersama Pengarah SPRM Terengganu, Ruslan Che Amad, selepas lawatan kerja di Kompleks SPRM Terengganu Bandar Baru Bukit Besar, di sini, semalam.

Turut hadir bersama delegasi itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abd Karim, ADUN Ajil, Maliaman Kassim, ADUN Pengkalan Bengkalan, Sulaiman Sulong, ADUN Rantau Abang, Alias Harun, ADUN Wanita, Zuraida Mohd Nor dan Timbalan Pengerusi Khairunnisa’, To’ Puan Hajah Zarani Othman.

Menurutnya, beliau turut mencadangkan kepada pihak SPRM berkenaan soal pendidikan yang harus diberikan kepada masyarakat di negeri ini.

“Saya menekankan tadi (apa) yang penting diberikan perhatian soal pendidikan kepada masyarakat.

“Saya dapat maklumat, SPRM dah turun ke bawah tapi (ia) boleh diperkasakan lagi supaya isu-isu penting di peringkat bawah (seperti) Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dapat penjelasan kerana mereka terlibat langsung dengan orang ramai,” jelasnya.

Justeru itu, Dato’ Yahaya berharap dengan pendidikan seumpama ini dapat menjauhkan dan dapat diperkasakan berkait dengan isu-isu rasuah.

Antara Pegawai SPRM yang hadir, Timbalan Pengarah Pencegahan SPRM Terengganu, Sofian Haroon dan Timbalan Pengarah Operasi SPRM Terengganu, Zainal Ayop.