• 02 Mei 2024 | 23 Syawal 1445

Kolej Komuniti Dungun Beroperasi September Ini


Oleh : Ezzuan Ahmad

Penduduk di Daerah Dungun bakal menikmati pendidikan serta latihan vokasianal ( TVET ) apabila Kolej Komuniti Cawangan Dungun beroperasi selewat-lewatnya September ini.

Menteri Pengajian Tinggi, Dato' Seri Idris Jusoh berkata, pembukaan kolej ini bukan sahaja memberi peluang kepada pelajar untuk mempelajari kemahiran vokasional, ianya akan memberikan manfaat kepada penduduk setempat juga.

"Kehebatan Kolej Komuniti adalah memberi peluang kepada penduduk tanpa mengira umur untuk mempelajari dan mendapatkan kemahiran yang ingin dimiliki.

"Peluang yang diberikan ini adalah secara tidak langsung akan membuka peluang kepada penduduk untuk menambahkan rezeki mereka berdasarkan kepada kemahiran yang dipelajari mereka,"katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Kolej Kominiti Cawangan Dungun di Bandar Al Muktafi Bilah Shah, Dungun, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Politeknik dan Kolej Komuniti, Prof Datuk Dr Mohd Ismail Abd Aziz dan calon Barisan Nasional Parlimen Dungun, Dato Din Adam.

Sebanyak empat kolej komuniti telah beroperasi di Terengganu iaitu di Kuala Terengganu, Kemaman, Besut dan Setiu.

Kolej Komuniti Cawangan Dungun merupakan kolej yang ke lima di Negeri Terengganu yang menawarkan kursus sijil Pemprosesan dan Kawalan Mutu Makanan serta beberapa program yang berkaitan bagi menghadapi Revolusi Industri 4.0.



Tag: