• 19 Mei 2024 | 11 Zulkaedah 1445

Kompaun Rokok Langkah ‘Tegas’ Didik Masyarakat

Dr Nor Azimi.

KUALA TERENGGANU, 8 Januari - Tindakan mengenakan kompaun kepada perokok yang merokok di kawasan larangan adalah bertujuan untuk mendidik rakyat supaya tidak terjebak dalam aktiviti itu.

 

 

 

Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus berkata, gejala merokok di premis menjual makanan dan restoran bukan sahaja membahayakan diri sendiri tetapi turut menjejaskan kesihatan orang ramai.

Berikutan itu katanya, penguatkuasaan yang dijalankan sejak 1 Januari lalu dilihat berupaya mengurangkan gejala itu daripada terus berlaku sekali gus menjamin kesihatan masyarakat.

“Sebanyak 137 notis kompaun dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) dalam operasi penguatkuasaan larangan merokok di 2,243 premis setakat 6 Januari.

“Dalam operasi itu, seramai 117 individu dikenakan kompaun di bawah Peraturan 11(1)(d) (PPKHT) kerana merokok di premis menjual makanan manakala 14 pemilik premis menjual makanan dikenakan notis kompaun di bawah Peraturan 12(1)(a) kerana tidak memasang tanda larangan merokok di premis masing-masing,” ujarnya.
 

Beliau berkata demikian ketika bersiaran dalam Wawancara Khas bersama JKNT di Studio TV Darul Iman, hari ini.

Menurut Dr Nor Azimi, Operasi Penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 (Op PPKHT) itu akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan semua pihak mematuhinya.

Bagi mereka yang menerima notis kesalahan kerana merokok di tempat makan dikenakan kompaun sebanyak RM250.

Mereka yang melakukan kesalahan pertama boleh dikurangkan kompaun kepada RM150 jika pembayaran dijelaskan di mana-mana Pejabat Kesihatan Daerah dalam tempoh sebulan daripada tarikh notis.

“Bagi kesalahan kedua, tiada pengurangan kompaun diberikan manakala kompaun sehingga RM350 akan dikenakan bagi mereka yang melakukan kesalahan kali ketiga dan seterusnya,” ujarnya.

Tambah beliau, pihaknya juga membuka pintu seluas-luasnya kepada semua perokok untuk hadir ke hospital atau klinik kesihatan bagi menjalani rawatan berhenti merokok.
 

 


Tag: