• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Kompaun Serta Merta Pengunjung Buang Sampah Merata

KUALA TERENGGANU, 15 November - Dalam usaha memastikan negeri ini bersih, kerajaan menerusi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) telah menjalankan operasi penguatkuasaan di lokasi-lokasi tumpuan melalui kaedah penyamaran dan tindakan kompaun dikenakan serta merta kepada pengunjung yang membuang sampah merata-rata.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata usaha terbabit adalah untuk mengekalkan keceriaan dan kebersihan seluruh negeri ini terutama di kawasan yang menjadi tumpuan ramai termasuk pantai dan pulau peranginan.

"Antara usaha yang dijalankan ialah mengadakan  aktiviti plogging bersama PBT, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti setempat di kawasan menjadi tumpuan, menjalankan kerjasama dengan pihak Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dalam mencari penyelesaian masalah kebersihan dan pengurusan pepejal termasuk di pulau-pulau.

"Menjalankan kempen kesedaran menjaga kebersihan melalui aktiviti gotong royong yang melibatkan persatuan dan NGO kebersihan, serta melibatkan kanak-kanak sebagai kempen kesedaran dalam memupuk sikap menjaga kebersihan bermula dari peringkat kanak-kanak.

"Menyediakan tong sampah daripada bersi bergalvani yang lebih tahan lasak dan kalis api berbanding tong plastik bagi mengurangkan masalah vandalisme di tapak pengumpulan sampah," ujarnya.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab secara bertulis soalan bertulis dari Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim, pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Terengganu Ke-14 (BAJET), di Wisma Darul Iman (WDI), pada hari ini.

Dalam memupuk kesedaran di kalangan rakyat dan pengunjunng katanya, tong sampah kitar semula juga telah diwujudkan di kawasan pantai bagi mengalakkan aktiviti kebersihan dan pengasingan sampah dikalangan pengunjung.

"Juga melancarkan kempen 'no plastic' dan menghentikan penggunaan plastik sekali guna di kalangan penjaja dan peniaga di kawasan pantai bagi mengurangkan masalah sampah yang melibatkan plastik sekali guna," katanya.


Tag: