lightning-solid
Berita :
Kompleks Mahkamah Syariah Baharu Kemaman Dibina 2026
Kompleks Mahkamah Syariah Baharu Kemaman Dibina 2026
Zahid Mustafar
12 Nov 25
346

KUALA TERENGGANU, 12 November – Kerajaan Terengganu terus memperkukuh institusi kehakiman Islam negeri dengan pelaksanaan pembinaan Kompleks Mahkamah Syariah Kemaman yang kini berada pada peringkat akhir penyediaan pelan reka bentuk, dan dijangka memulakan kerja pembinaan pada tahun 2026.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, pelaksanaan projek tersebut mencerminkan kesungguhan kerajaan negeri memperkasa sistem kehakiman Islam secara menyeluruh dan berfasa di seluruh daerah.

"Perkembangan terkini pembinaan Kompleks Mahkamah Syariah Kemaman kini berada di peringkat akhir penyediaan pelan reka bentuk bangunan.

"Kerja-kerja pembinaan dijangka bermula pada tahun 2026 selepas proses perancangan dan pelulusan teknikal diselesaikan," jelasnya ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih, Dr. Riduan Mohamad Nor, dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Kelima Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman, hari ini.

Muhammad Khalil berkata, keputusan kerajaan negeri untuk memindahkan tapak pembinaan ke lokasi baharu di Chukai, Kemaman, dibuat atas dasar keutamaan dan penjimatan kos bagi memastikan pembangunan dilaksanakan secara lebih efisien.

"Kerajaan telah bersetuju untuk memindahkan ke tapak baharu yang bersebelahan dengan bangunan lama Mahkamah Rendah Syariah Kemaman sekarang, iaitu di Chukai, Kemaman.

"Keputusan ini dibuat berdasarkan prinsip keutamaan dan penjimatan, berbanding pelan asal di Bandar Baharu Kijal yang memerlukan kos rawatan tanah dan kerja asas bernilai RM6.3 juta, serta tempoh pembinaan sehingga 18 bulan," jelasnya.

Beliau menambah, langkah memindahkan tapak baharu itu membolehkan kerajaan negeri menjimatkan perbelanjaan pembangunan, sekali gus memberi ruang kepada pelaksanaan projek serupa di daerah lain secara berperingkat.

"Apabila berpindah ke tempat baharu ini, kerajaan tidak perlu lagi membelanjakan jumlah tersebut.

"Adapun perancangan di daerah-daerah lain, ia akan dilakukan secara berfasa termasuk di daerah Besut, Marang dan Hulu Terengganu," tambahnya.

Dalam masa sama, beliau turut memaklumkan bahawa pembangunan Mahkamah Rendah Syariah Setiu kini berada di peringkat penyediaan laporan kesesuaian tapak dan anggaran kos pembangunan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri.

"Status terkini bagi pembinaan Mahkamah Rendah Syariah Setiu adalah di peringkat penyediaan laporan kesesuaian tapak dan anggaran kos pembangunan oleh JKR Negeri.

"Ia merupakan sebahagian daripada pelan jangka panjang kerajaan negeri dalam memperkukuh infrastruktur syariah di setiap daerah," ujarnya.


Artikel Berkaitan