• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Kompleks Sukan Hulu Terengganu Siap 70 Peratus

HULU TERENGGANU, 26 November - Pembinaan Kompleks Sukan Hulu Terengganu di Telemong, di sini yang menelan belanja hampir RM5.4 juta kini hampir 70 peratus siap.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, projek yang dibiayai Kementerian Belia dan Sukan (KBS) itu mula dibina pada Mac tahun lalu kini dalam fasa terakhir pembinaan.

Katanya,  jika dilihat pada fizikal pembinaan kompleks itu ia dijangka siap sepenuhnya April tahun depan.

“Apabila siap kelak, kompleks yang mampu menampung muatan 500 sehingga 700 penonton itu turut dilengkapi astaka, padang bola sepak, gelangang futsal, bola tampar, sepak takraw, dewan serbaguna, tandas dan surau.

“Saya berharap pihak yang diberi tanggungjawab dapat menyiapkan projek itu dalam tempoh ditetapkan walaupun terpaksa berdepan dengan musim tengkujuh dan penularan wabak COVID-19,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika turun padang meninjau perkembangan projek kompleks itu di sini hari ini.

Terdahulu, Wan Sukairi melawat proses membuat Peralatan Pelindungan Diri (PPE) oleh pelajar Institut Kemahiran Belia Negara Wakaf Tapai, Marang dengan kerjasama Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (Haluan) Terengganu.

Katanya, beliau berharap apa yang dilaksanakan Haluan itu dapat dicontohi pihak luar, agar bersama-sama tampil membantu barisan hadapan menyalurkan PPE atau kelengkapan berkaitan.

“Pihaknya ada dimaklumkan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memerlukan sebanyak mungkin kelengkapan itu, kerana PPE adalah pakaian pakai buang, sentiasa diperlukan selagi adanya Covid-19.

“Difahamkan sehingga kini,  pihak haluan sudah menyumbangkan hampir 30,000 PPE melibatkan kos hampir RM100,000 kepada pihak berkaitan termasuk Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu dan pasukan barisan hadapan di Sabah,” katanya.

 


Tag: