• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Kontinjen Terengganu Tekad Kekalkan Kejuaraan Sukma

KUALA NERUS, 19 Julai- Kontinjen Terengganu berkeyakinan untuk mengekalkan gelaran juara Sukan Malaysia (Sukma) menjelang 60 hari ke kejohanan tersebut yang bakal berlangsung di Kuala Lumpur September ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, atlet-atlet Terengganu kini berada di landasan yang betul dalam mempertahankan kejuraan berkenaan.

"Seramai 800 orang atlet dan pegawai kontinjen Terengganu akan menyertai 28 jenis sukan dengan sasaran mendapatkan 70 pingat Emas.

"Sukma kali ini akan mempertandingkan 31 jenis sukan melibatkan 424 acara secara keseluruhan. Jadi, hanya tiga jenis sukan yang tidak akan kita sertai iaitu bola tampar, gimrama dan kriket," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Himpunan Kontinjen SUKMA Terengganu Menjelang 60 hari ke Sukma XX, MSN 2022 di Kompleks Pentadbiran Bandar Al Wathiqu Billah, di sini, semalam.

Majlis berkenaan disempurnakan oleh Tengku Bijaya Raja Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu mewakili Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr. Ahmas Samsuri Mokhtar yang tidak dapat hadir.

Dalam majlis tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu FC, Ab Rasid Jusoh serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md. Noor ditauliahkan sebagai Timbalan Ketua Kontinjen (DCDM) Sukma XX.

Selain itu, turut diadakan penyampaian Watikah Pelantikan Bapa Angkat dan Jabatan Angkat Sukma XX kepada ADUN-ADUN dan jabatan kerajaan.

Dalam pada itu, Tengku Seri Bijaya Raja turut memaklumkan hasrat kerajaan negeri untuk kontinjen Terengganu terus mengekalkan kejuaraan.

"Setakat pengalaman saya, kita berada di landasan yang betul dan atlet-atlet kita sedang bersemangat tinggi. Kita harap, dalam 60 hari lagi mereka dapat mengekalkan momentum ini sehingga kejohanan nanti," katanya.

 

 


Tag: