• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Konvensyen Kepimpinan Mahasiswa Islam IPT Gagas Lima Resolusi

Dr Maszlee Malik menyampaikan sijil penghargaan kepada para peserta dan penaja. Foto - Tengku Syamim Tengku Ismail
KUALA TERENGGANU - Konvensyen Kepimpinan Mahasiswa Islam Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Peringkat Kebangsaan Kali Ketiga  2018 yang berakhir pada 29 Ogos 2018 di Dewan Perdana, Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA) telah menggagaskan lima resolusi yang akan disampaikan kepada kerajaan pusat.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, perkara paling penting menurut resolusi yang diadakan adalah kebimbangan mahasiswa terhadap cabaran mengekalkan kesucian akidah  Islamiyah dan kesyumulan Islam.

"Yang pertama adalah kepercayaan kepada Tuhan iaitu cabaran terhadap agama Islam.

"Kita perlu membina asas akidah yang mantap bagi menangani ancaman pemikiran (ghuzwatul fikr) dalam kehidupan melalui sistem pendidikan  yang merangkumi aspek kesyumulan insan berdasarkan kepada prinsip akidah yang berteraskan kepada manhaj ahli sunnah wal jamaah.


"Kita perlu mengangkat nilai hikmah dalam mengurus kepelbagaian dan perbezaan dengan mengambil semangat dakwah 'bil hikmah' melalui konsep dialog dan intelektual.

"Kita akan memperkasakan peranan Badan Bukan  Berkanun kerajaan (NGO) menerusi peruntukan dana khas yang bertujuan menjayakan agenda dalam mendaulatkan agama Islam sebagai agama persekutuan," ujarnya.

Yang kedua ialah kesetiaan kepada raja dan negara iaitu konsep dan pandangan orang muda.

"Kita mesti menginsafi bahawa bidang pengajian sejarah adalah platform yang terbukti berjaya dalam memperkukuhkan kefahaman terhadap kenegaraan.

Yang ketiga ialah keluhuran perlembagaan iaitu jaminan kestabilan negara.

"Kita akan menyegerakan tindakan-tindakan berkenaan kebebasan bersuara mahasiswa.

"Kemudian, menggesa kerajaan merangka dan melaksanakan perancangan ‘attirmative action’ kepada golongan B40  tanpa mengira kaum," katanya.


Yang keempat ialah  kedaulatan undang-undang dan agama Islam.

"Kita akan menjenamakan semula  Akta Universiti  dan Kolej Universiti (AUKU 1971) berdasarkan  kepada kebebasan demokrasi dan sistem musyawarah.

"Yang kelima ialah kesopanan dan kesusilaan  iaitu lambang keutuhan perpaduan kaum.

"Kita hendaklah memperkasakan program kepimpinan berasaskan nilai murni yang berpaksikan kepada rukun negara," tambahnya.




Tag: