Koperasi Masjid Banyak Tidak Aktif, Timbul Kebimbangan

KUALA TERENGGANU, 17 April – Walaupun 28 buah masjid di seluruh Terengganu telah menubuhkan koperasi, hanya sejumlah kecil sahaja yang benar-benar aktif sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap keberkesanan usaha menjadikan masjid sebagai pusat ekonomi setempat.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman berkata, perkara itu perlu diambil perhatian serius bagi mengaktifkan kembali koperasi masjid di setiap kawasan sebagaimana tujuan penubuhan. 

“Daripada jumlah 28 buah masjid yang memiliki koperasi, terdapat beberapa buah masjid sahaja yang benar-benar aktif antaranya Masjid Nur Bakti di Kuala Nerus, Masjid Binjai di Kemaman, Masjid Kg Tebakang di Marang dan Masjid Tokku Tuan Besar di Kuala Terengganu,” jelasnya.

Beliau berkata demikian semasa sesi soalan lisan di Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelima Belas di Wisma Darul Iman, di sini, semalam. 

Menurutnya, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) memandang serius perkara itu dan telah menggerakkan seruan melalui khutbah Jumaat di seluruh negeri agar ahli kariah memberikan sokongan terhadap koperasi masjid masing-masing.

“Inisiatif penubuhan koperasi adalah untuk menjadikan masjid sebagai pusat ekonomi setempat bagi menjana pendapatan tambahan untuk manfaat ahli qaryah dan meningkatkan kesejahteraan ekonomi komuniti setempat. 

“Ini selaras dengan dasar koperasi negara yang mensasarkan penglibatan koperasi kariah masjid sebagai agen perubahan sosio dan ekonomi umat islam di negeri ini,” tambah Ariffin lagi.


Tag: